Tuesday, December 30, 2008

#22 - Tahun Dua Ribu Lapan Hampir Tamat

Ukuran ialah proses menentukan saiz sesuatu kuantiti dalam unit yang telah ditakrifkan.

Masa adalah satu unit ukuran yang penting. Asas unit (SI based unit) untuk masa adalah saat. Unit masa yang lebih besar seperti minit, jam, hari, bulan dan tahun ditakrifkan daripada saat.

Dalam kehidupan seharian, selalunya saat yang berlalu tidak begitu diendahkan oleh kita; manusia. Kita lebih cenderung untuk menyedari perbezaan masa dalam unit masa yang lebih besar seperti jam, hari, minggu, bulan ataupun tahun. Mungkin kerana saat itu sangat singkat. Kita yang sudah biasa tidak ambil peduli tentang perkara-perkara yang remeh, lebih mudah merasakan saat kurang sesuai untuk dijadikan pengukur.

Contoh-contoh tipikal berkenaan kesedaran masa:

"Tahun depan umur aku dah 27 tahun".
"Lesen mati lagi sebulan".
"Alamak, next week exam!".
"Dua hari lagi, sampailah tu".
"Esok gaji".
"Dua jam lagi nak rehat".

Masa hanya disedari apabila tempoh yang ditetapkan hampir tiba. Biasanya ketika melakukan sesuatu mahupun menjalani kehidupan seharian, kita sering alpa tentang berlalunya masa. Banyak perkara-perkara yang disempurnakan tidak sepadan dengan masa yang sepatutnya diuntukkan. Akibatnya banyak masa dibazirkan.

Pernah berlaku perkara sebegini dalam hidup aku. Aku bukan sekadar melakukan sesuatu secara sambil-lewa. Tapi waktu itu aku langsung tidak mempedulikan tentang masa. Buat apa yang aku suka. Memang seronok dan bebas. Sampai suatu ketika aku menyesal. Engkau orang pernah rasa?

Sensitiviti terhadap masa amat penting. Pernah aku cuba untuk mempraktikkan kesedaran total terhadap masa. Cuba merasai kehilangan setiap saat dengan setiap gerak-geri aku. Sangat sukar. Jadi, aku tak buat begitu lagi. Cukuplah sekadar aku sedar yang masa sedang berlalu. Dan sekali-sekala aku akan berkira-kira adakah masa yang aku guna setimpal dan berbaloi dengan apa yang aku buat.

Pada pendapat aku, dalam banyak-banyak benda kepunyaan (atau dipinjamkan) kita dalam dunia ini boleh diganti dan dicari kecuali masa!

Jadikan ini pedoman:

By the declining day,
Lo! man is in a state of loss,
Save those who believe and do good works, and exhort one another to truth and exhort one another to endurance.
(al-asr The Noble Qur'an chapter 103)


Hargai masa dan Selamat Tahun Baru.

Wednesday, December 17, 2008

#21 - Jakarta, Ojeg, Buntut dan Gue

Enam hari aku ke Jakarta. Pergh... Chill gila!
Tak puas berjalan. Memang boleh datang lagi lain kali.
Kuala Lumpur dan Jakarta cukup berbeza.
Apa yang beza, pelan-pelan aku cerita nanti.


Ojeg - motor prebet sapu


Buntut - ekor sapi

Tuesday, December 9, 2008

(2.1) Aku Budak STAR : Pra Hari Pertama

Petang itu. Sedang aku asyik menonton Gaban di kaca televisyen. Sambil jilat ais pop. Sambil makan cucur ikan bilis panas.  Makcik Zan datang. Makcik Zan kerani sekolah aku. Merangkap ahli mesyuarat tingkap kawasan perumahan yang aku tinggal. 

Macam petang-petang lain dia akan terus meluru ke dapur mencari mak aku. Macam petang-petang lain juga macam biasa aku akan buat tak peduli. Tak pandang pun muka dia. Tapi petang itu tidak. Dia tidak meluru ke dapur mencari mak aku. Dia duduk sebelah aku. Tonton Gaban di kaca televisyen dengan aku. Makan cucur ikan bilis panas aku. 

Yang ini aku peduli. Aku pandang muka dia.

"Makcik Zan. Kalau nak cucur pergi lah amik kat dapur. Yang ini Ajoi punya", aku buat muka bengang.
"Alah, satu pun kedekut?", sambil dia lahap mengunyah.
"Yelah. Orang dah amik cukup-cukup je ni", aku cebik bibir.
"Sedap pulak cekodok mak kamu ni", laju tangan dia mencapai cucur ikan bilis panas.
"Sedap ke lapar? Amik dua pulak tu!"
"Pergi lah amik sendiri kat dapur tu", tumpuan aku pada Gaban sudah hampir terjejas.
"Tahi hidung masin betul lah budak ni", sambil dia calit minyak cucur ikan bilis panas dari jari dia ke pipi aku.
"Apa ni? Pengotor lah Makcik Zan ni. Geli lah", nasib baik Gaban tengah lawan Raksasa Gorgon. Kalau tengah iklan dah lama aku hentak perut Makcik Zan.

Sambil dia ke dapur. Sambil dia mengomel. "Aku dari pejabat tadi. Kamu dapat surat daripada Kementerian nun ha. Siap ada Jata Negara. Siap ada logo SBP".

Kementerian? Jata Negara? Logo SBP? Apa benda SBP tu? Kali ni tumpuan aku betul-betul dah hilang. Gaban menang atau kalah aku dah tak peduli lagi. Tak mengapa. Macam mana kuat Raksasa Gorgon tu sekali pun, Gaban mesti menang punya. Kalau agak-agak dah nak kalah pun, Naga Gaban mesti tolong punya.

Aku mengekor Makcik Zan ke dapur. 

"Mak kamu takde. Motor takde. Ke kedai depan lah tu gamaknya", dia patah balik ke pintu hadapan.
"Surat apa Makcik Zan oi?", aku ingin tahu.
"Takpe lah. Nanti malam aku telefon mak kamu", terkedek-kedek dia berjalan balik ke rumah.

Lemah betul aku dengan perangai orang tua-tua ni. Cakap sekerat-sekerat. 

Surat apa agaknya yang sampai ke pejabat? Entah-entah surat daripada wakil rakyat hendak beri hadiah UPSR 4A? Kalau tak pun, mungkin PPD hendak beri baucar Snack Plate? Untungnya dapat makan KFC. Kalau dapat dua-dua, boleh makan dan beli jam tangan kereta kebal KFC. Style! Jam tangan kereta kebal? Jam tangan Kalkulator Casio pun boleh tahan juga. Lagi style

Budak usia dua belas tahun macam aku memang tamak. 
Kalau boleh semuanya hendak. 
Beli itu . Beli ini. 
Tak fikir masa depan langsung. 

"Gaban Z, potong dua."
"Tebaabooom!"
Mata aku terpaku ke kaca televisyen.
Menang lagi Gaban minggu ni.

***

Wednesday, December 3, 2008

#20 - Tali Pinggang Yang Tak Ikat Pinggang Langsung

Pemandu Proton Saga: Ohaio gozaimasu (selamat pagi)
Pasukan Keselamatan Kasukabe: Ohaio (pagi)
PPS: Akemashite omedetou gozaimasu (selamat tahun baru)
PKK: Haaaiitt.

PPS tersenyum lebar.

PKK: Saman. Tali pinggang tak pakai.
PPS: Minta maaf Tuan. Ni saya pakai ni. Isteri saya pun pakai.
PKK: Saman. Penguatkuasaan ketat sekarang ni.
PPS: Tapi kami pakai tali pinggang ni Tuan.
PKK: Tu. Tiga orang kat belakang tu tak pakai?

PPS tepuk dahi.
PKK geleng kepala.

PPS: Alamak. Tali pinggangnya pun takde. Nak ikat apa benda?

*PPS - Pemandu Proton Saga
*PKK - Pasukan Keselamatan Kasukabe

Sunday, November 23, 2008

#19 - Kedai Runcit Runcit-Runcit

Kajang Pak Malau kajang berlipat
Kajang hamba menkuang layu
Dagang Pak Malau dagang bertempat
Dagang hamba musafir lalu

Bersempena menyahut seruan kerajaan untuk memacu dan menjana pendapatan negara disamping mengawal kadar inflasi ... fakta auta.
Aku telah membuka dua kedai runcit yang runcit-runcit secara kecil-kecilan dan atas talian.


Satu di sini.


Satu lagi di sini.


Satu jual Jam Retro.
Satu lagi jual Pakaian Lelaki.
Ada masa datanglah lawat.
Ini ada sedikit pratonton:



Thursday, November 20, 2008

(1) Aku Budak STAR : Prolog

Tarikh itu.
Aku masih ingat lagi tarikh keramat itu.
5 Disember 1994.
Masakan aku boleh lupa. Antara tarikh-tarikh penting yang memang aku kenang sampai mati. Tarikh itu adalah tarikh bermulanya satu era baru dalam hidup aku. Tarikh bila mana aku mula kenal erti hidup.

Tempat itu.
Aku masih ingat lagi tempat gah itu.
Masakan aku boleh lupa. Antara tempat-tempat yang masih aku singgah kalau aku lalu. Tempat di mana aku mula belajar berdikari. Belajar selok belok kehidupan.

Banyak yang aku timba di situ. Banyak yang aku harung di situ. Sepanjang lima tahun aku di situ, banyak yang telah aku tempuhi. Pahit, manis, suka, duka. Sejak pertama kali aku menjejakkan kaki di situ sampailah terakhir kali aku melangkah keluar dari situ, tak pernah aku kesal tertang apa yang telah dan pernah berlaku.

Sebab? Ianya hebat!

Kawan-kawan yang aku kenali.
Memori-memori yang aku lalui.
Pengalaman-pengalaman yang aku perolehi.
Ilmu pengetahuan yang aku pelajari.
Erti kehidupan yang aku rasai.
Semuanya cukup berharga.

Aku rindu waktu itu.
Aku rindu tempat itu.

Aku budak STAR. Dan ini cerita aku.

***

Thursday, November 13, 2008

#18 - Lagu Lima Minit, Iklan Sepuluh Minit

Panas terik mentari tidak dihiraukan. Miang renyam lalang juga tidak dipedulikan. Berdiri terus-menerus dua belas jam di production line sambil mengendali mesin pun dia biasa. Inikan pula mencangkung sambil berpelekat dan bersinglet di tanah belakang rumah pangsa tempat dia tinggal. Apalah sangat dengan panas dan miang tu. Orang Melayu kata, alah bisa tegal biasa. Janji hatinya lapang.

Tersenyum sinis Rampwalk Remo. Kembang-kuncup hidungnya. Api yang marak itu ditenungnya bersahaja. Macam budak baru lepas pekena ais kacang free lagaknya. 

Puas!

Pagi tadi. Rampwalk Remo bangun lewat sedikit daripada hari-hari biasa. Maklumlah hari cuti. Setiap minit, setiap saat harus dihargai betul-betul. Apalagi operator pengeluaran macam dia. Dalam seminggu, hanya satu hari cuti yang diberikan majikan. Berbanding dengan rakan-rakan serumah, dia agak beruntung. Ada diantara mereka yang langsung tak diberi cuti oleh majikan. Jadinya, pengisian aktiviti pada hari cuti amat penting. Rugi kalau tersilap. Hendak tunggu cuti minggu hadapan mamang jenuh.

Setelah puas bermalas-malas atas tikar tempat tidur, Rampwalk Remo ke dapur. Nasi goreng dua ringgit semalam yang masih berbaki separuh dicapai. Kopi pekat dalam termos yang masih suam-suam kuku dituang tiga suku ke dalam gelas ayan. Dia bersila di depan tv. Sudah seminggu tv tu rosak. Bukan tv yang hendak ditonton, tapi, Rampwalk Remo dah biasa makan di depan tv. Selesa. Luas. Bilik dan dapur kecil dan bersepah. Ruang tamu agak besar dan bersih. Perutnya yang lapar dan hatinya yang riang, membuatkan hidangan terasa sedap walaupun cuma nasi goreng pasar malam dan kopi berkeladak yang dijamah.

Sambil makan, sambil Rampwalk Remo berkira-kira. Dia tak boleh keluar membeli-belah hari ni. Keluar berjalan-jalan pun dia tak mampu. Wang gaji sebahagian besar sudah dihantar ke kampung di seberang laut. Sebahagian sudah dibuat bayaran levi untuk imigresen. Yang tinggal hanya cukup untuk seminggu sementara gaji hujung bulan. 

Habis makan. Dia mati kutu. Bosan. "Perut dah kenyang. TV rosak. Layan radiolah".
Radio kecil tu dia beli di Tesco tahun lepas. Walaupun murah, fungsinya cukup. 

Dia laras tombol frekuensi.
Era FM - Rentak muzik terkini.
"Aduh sakit kepalaku. Uphamol enam lima kosong melegakan ..."
"Cit poodah. Iklan."

Dia laras tombol frekuensi lagi.
Hot FM - Lebih hangat daripada biasa.
"Kalau makcik jumpa Ronaldo, makcik akan marah dia ..."
"Cit poodah. Iklan."

Dia laras ke tombol frekuensi lagi.
Hitz FM - Malaysia's No. 1 hit station.
"Daling ah, do you know that we spend more than ..."
"Cit poodah. Iklan."

Dia laras tombol frekuensi lagi.
Mix FM - Tune me on.
"Mix FM Malaysia's best variety ..."
"Cit poodah. Iklan"

Dia laras tombol frekuensi lagi.
Sinar FM - Muzik retro terbaik.
"Masak beras moghul basmati sajalah ..."
"Cit poodah. Iklan lagi ka."

Dia laras tombol frekuensi lagi. Lagi. Dan lagi. Dari hujung ke hujung. Lagi. Dan lagi. 

Dei thambi!
Apa cerita? 
Semua iklan?
Dah la bosan. Duit tade. Mau dengar radio, radio bikin kacra. Boleh 
ka iklan serentak semua station. Radio is for entertaintment, not advertising la dei

Rampwalk Remo panas. Fikirannya terganggu. Laju je dia ke dapur. Botol minyak tanah dicapainya. Radio kecil Tesco disentapnya. Pintu rumah dihentamnya. Wayar radio dilibasnya kiri dan kanan. Tanah lapang belakang rumah pangsa ditujunya.

Kalau di kampungnya sana, bila wayang tak best dia orang bakar pawagam. Di Malaysia, bakar radio pun jadilah.

Puas!

Macam budak baru lepas pekena ais kacang free lagaknya. Api yang marak itu ditenungnya bersahaja. Kembang-kuncup hidungnya.  Tersenyum sinis Rampwalk Remo. 

Friday, November 7, 2008

#17 - Cara-cara Memandu Kamu Sangat Merbahaya

Helo gadis-gadis jelita dan makcik-makcik rupawan mahupun jejaka-jejaka tampan dan pakcik-pakcik kacak. Tahukah kamu tentang cara-cara pemanduan berhemat semasa memandu di bulatan (roundabout)? 

Boleh kata setiap hari mulut aku ni, automatik je nak menyumpah seranah bila sampai dekat bulatan Seksyen 15 (PLUS Exit Bangi). Macam gampang. 

"Hep! Bayar seringgit setiap kali awak curse", bilang mem aku hampir setiap kali. 

Disebabkan kebodohan mereka ini, duit kocek aku pula yang habis. Dan kedunguan mereka ini juga boleh membahayakan orang lain. Kalau kau bodoh, kau kemalangan sorang-sorang tak mengapa. Tapi kalau kau bodoh, kau kemalangan sekali dengan orang lain memang sial kan?

Bulatan standard mesti sekurang-kurangnya ada dua lorong. Satu di dalam dan satu di luar. Kalau kamu pandu suku bulatan, kamu boleh guna lorong luar. Selain daripada itu kamu kena guna lorong dalam. Kiranya, kalau hendak ke simpang kiri sahaja boleh guna lorong luar. Kalau hendak terus, ke simpang kanan atau pusing balik, guna lorong dalam. Ini tidak, macam operator Bangla pergi kantin waktu rehat. Berterabur.

Bila sistem mudah ini tidak diikut, maka keadaan bulatan itu akan menjadi kucar-kacir. Kelicinan pemanduan akan terganggu. Kemalangan boleh berlaku. 

Masalahnya bukan seorang dua yang tak tahu atau buat-buat tak tahu. Hampir semua main hentam je. Main masuk je. Asalkan boleh. Gila. Boleh kata setiap minggu ada kemalangan dekat bulatan Seksyen 15 ni. 

Takkan benda ni pun masa di sekolah memandu tak belajar? Aku yang belajar memandu di Teluk Intan pun tahu benda simple ni. Teluk Intan mana ada bulatan.

Kepada pengguna-pengguna jalanraya, sila memandu dengan betul semasa di bulatan. Kepada pembikin-pembikin iklan, sila buat iklan yang canggih-canggih untuk educate mereka yang uneducated ini.  Semoga mesej aku sampai.

NOTA PANGLIPURLARA: Letih memandu di KL ni.

Tuesday, November 4, 2008

#16: Apa Yang Kalau Naik, Tak Turun-Turun Dah?

Malam semalam. Genap umur aku dua puluh enam tahun. Malam semalam. Genap empat belas tahun aku hisap rokok. Dan. Malam semalam. Baru aku sedar. Rokoklah kawan aku yang paling rapat sekali. Bila aku gembira, mesti aku hisap rokok. Bila aku sedih, rokok mesti kena hisap. Sebelum tidur, hisap rokok dulu. Bangun tidur, kalau tak hisap rokok tak sah. Kemana aku pergi, rokok mesti ikut. Tak kira bila senang atau bila susah, rokok mesti ada. Setia. Aku dengan rokok dah macam isi dengan kuku. Macam aur dengan tebing. Kira mat saleh cakap, best friend lah.

Malam semalam. Tepat jam dua belas. Dalam bilik. Rokok yang teman aku.

So sekarang, cuba engkau orang bilang sama aku, macam mana aku nak quit merokok?

NOTA PANGLIPURLARA: Selamat ulang tahun ke-empat belas rokok. Semoga panjang umur. Murah rezeki.

Thursday, October 16, 2008

#15 - Dilema Aku dan PTPTN : Mereka Ini Tidak Menolong Langsung!

Dilema aku dan PTPTN telah bermula sejak aku menandatangani perjanjian dengan mereka sekitar tahun 2000 dan berlarutan sehingga kini.

Lama dulu, bila aku masih belajar di MMU, masalah yang selalu timbul antara lain ialah kelewatan pembayaran. Tak lama dulu, bila aku baru mula bekerja, masalah yang timbul antara lain ialah aku tiada wang yang cukup untuk membuat pembayaran balik. Baru-baru ini, bila aku sudah agak mampu untuk membuat pembayaran balik, masalah yang timbul antara lain ialah aku sangsi dengan kaedah pembayaran yang begitu membebankan dan mencurigakan.

Baca 'Dilema Aku dan PTPTN' untuk feel yang lebih kaw sebelum baca perenggan-perenggan seterusnya.

Juga baru-baru ni, PTPTN melalui Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron berkata mereka akan turunkan caj perkhidmatan dalam sokkabar. Wah! Masa tu aku dah pasang angan-angan. Bolehlah aku hidup senang sikit walaupun sambil buat pembayaran balik PTPTN. Kalau betul kena gayanya, memang aku akan bayar hutang aku dengan PTPTN ni.

Masih baru-baru ni, kali ni PTPTN melalui Menteri Pengajian Tinggi sendiri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata caj PTPTN 1 peratus - Kadar baru berkuat kuasa 1 Jun lalu ringankan beban sejuta pelajar.

Pergh!

Ting tong sekejap bila aku baca sokkabar Utusan. Dua tiga kali aku baca. Dua tiga sokkabar lain aku selongkar. Kali ini betul-betul dia oarang buat. Betul-betul turunkan caj perkhidmatan. Betul-betul murah. Aku rasa macam nak kerat sokkabar Utusan tu buat frame. Gantung kat dinding buat pembakar semangat nak bayor utang. Angan-angan aku untuk hidup senang hampir menjadi kenyataan. Bolehlah aku tolong mak ayah aku lebih sikit. Bolehlah aku kahwin dengan mem aku awal sikit. Bolehlah itu. Bolehlah ini.

Tidur malam pun nyenyak je. Senyum pun dah lain macam je. Bak kate bos Jepun aku, 'You make a poka face today' (poker face).

Dekat semua orang aku cerita.

Jumpa mem, aku cerita: "Bi, PTPTN dah turun, boleh la kita start bayar".
Jumpa adik aku, aku cerita: "Wei, PTPTN dah turun. Dah murah skang. Jom bayar".
Jumpa member-member, aku cerita: "PTPTN dah turun, bila korang nak start bayar? Aku nak bayar ni."
Dekat ayah aku pun aku cerita: "Ayah tak payah risau. Lepas ni PTPTN mesti beres".

Semalam. Aku dapat pekeliling PTPTN. Katanya, "Perlaksanaan Pembiayaan Pendidikan dengan Pengenaan 'Ujrah' atau Upah 1 Peratus Setahun Atas Kadar Rata"

Pergh!

Bukan main seronok. Macam budak-budak dapat main hujan. Dua tiga kali aku baca. Macam percaya tak percaya. Angan-angan aku bakal menjadi kenyataan. Manyak syiok.

Hari ni. Saja-saja aku baca baik pekeliling tu. Alih-alih ...
Menyirap darah aku!

Engkau orang nak tahu?








Aku bukan ingkar.
Aku tak mampu la bahlul.
PTPTN! Skang lu mau tolong lu tak mau tolong?

NOTA PANGLIPURLARA:
Aku dah agak dah. Ini hanya sandiwara semasa kerajaan. Sekadar sembang kosong politik. Nak tolong orang buat cara nak tolong orang. Tolong semua sekali. Bukan tolong bersyarat. Fikir nak untung je. Tak ihklas. Mereka ini tidak menolong langsung!

Damn it!

Tuesday, October 7, 2008

#14 - Mobile Blogging dan Si Jakun


Gambar dan teks ini dihantar dari telefon bimbit ke blogspot melalui go[at]blogger[dot]com. Canggih!

NOTA PANGLIPURLARA:
Aku dan adik-adik aku ketika convocation di MMU tahun lepas. Susah payah. Naik bukit, turun bukit. Masuk hutan, keluar hutan. Akhirnya graduate juga aku. 

Monday, October 6, 2008

#13 - Ampun

Pergh! 

Lama betul aku tak tulis apa-apa. Nak kata kurang idea; idea banyak. Nak kata tak cukup masa; masa ada je. Nak kata tak berapa rajin, tak pula rasa malas. Kerja-kerja yang menimbun dekat office ni siap je semua. 

Yang sebenarnya aku busy. Tenggelam dalam kesibukan hidup. Sibuk di pejabat. Sibuk berpuasa. Sibuk berniaga. Sibuk bercinta. Sampai kadang-kadang tu tak cukup nafas. Masa yang tinggal habis buat qada' tidur je.

Apa-apa hal pun, sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini, aku nak ambil kesempatan untuk memomohon ampun dan maaf daripada engkau orang semua. Tak kira lah kalau-kalau aku pernah buat salah ke, tak buat salah ke, kat engkau orang. Kepada siapa-siapa yang aku ada hutang tu, aku tak la nak mintak halal. Kalau ada tu tolong beritahu. Kot-kot aku terlupa nak bayar. Tapi kalau nak kira halal pun terbaik. Aku tak kesah.

Semoga Hari Raya tahun ni membawa kesenangan kepada engkau orang semua.

NOTA PANGLIPURLARA:
Siapa-siapa (umur 5 tahun ke bawah dan 55 tahun ke atas, lelaki atau perempuan) yang rasa nak duit raya boleh la minta kat aku. Aku terasa nak beri pulak tahun ni. Aku ikhlas ni. 

Sunday, August 31, 2008

#12 - Merdeheka

Dah merdeka dah ke?
Macam tak merdeka pun?
Tak banyak bendera berkibar pun?

Tahun-tahun lepas...

Boleh kata semua kereta-kereta dekat Kolumpo ni pasang bendera.
Siap ada yang rentang bendera atas bonet kereta.
Rentang atas bumbung kereta.
Motorsikal pun ikut pasang sama.
Memang bersepahlah bendera merata-rata.
Kiri. Kanan. Depan. Belakang. Atas. Bawah.
Pandang saja.
Mesti ada bendera.

Tahun ini...

Kiri. Kanan. Depan. Belakang. Atas. Bawah.
Pandang saja.
Belum tentu ada bendera.
Harapkan sekolah dengan kedai mamak je yang kibar.
Kedai lain semua buat tak tahu saja.
Kalau ada pun, bendera yang memang tahun lepas punya.
Dah naik lusuh dah.

Ni apa cerita orang Malaysia tak pasang bendera ni?
Hari merdeka lah!

Minyak naik harga, bendera naik harga juga agaknya?
Minyak dah turun harga, bendera masih tak turun harga lagi?

Damn it!

NOTA PANGLIPURLARA:
Satu je yang sama. Hari merdeka tetap cuti umum. Bendera tak bendera ... meriah tak meriah. Cuti tetap cuti. Enjoy the holiday!

Wednesday, August 27, 2008

#11 - Pertandingan Populariti

Dalam pertandingan populariti, yang menang selalunya mesti dari kalangan yang popular. Yang popular itu mestilah terampil, kaliber dan bagus. Itu kebiasaan. Kadang-kadang, kebiasaan boleh jadi luar biasa, bila pertandingan populariti, pemenangnya popular sahaja yang lebih. Terampil, kaliber dan bagus tidaklah sangat.

Damn it!

Pemenang pertandingan populariti lazimnya akan menentukan trend dan hala tuju kelompok yang terlibat. Masalah timbul bila pihak-pihak yang bertanding masing-masing tahap keterampilannya teruk dan tidaklah bagus. Yang menjadi mangsa adalah kelompok yang terlibat tadi. Tidak kira mereka-mereka ini adalah peminat-peminat si pemenang ataupun sebaliknya. Semuanya bakal menerima padah akibat ketidakterampilan pemenang.

Lebih buruk lagi elemen kebencian ditiup kedalam atmosfera pertandingan populariti itu. Umumnya pihak yang bertanding terlebih dahulu ada peminat setianya dalam kelompok yang terlibat. Mana mungkin bertanding tanpa peminat? Jadinya jumlah peminat pihak-pihak yang bertanding akan menentukan kemenangan mereka ini. Jika jumlah peminat meraka ini hampir sama banyaknya, maka kemenangan boleh dikatakan akan ditentukan oleh mereka-mereka yang berdiri di atas pagar dalam kelompok yang terlibat.

Sekiranya pihak yang bertanding itu dibenci oleh kelompok tersebut, lebih-lebih lagi oleh mereka-mereka yang berdiri di atas pagar ini, sudah tentu kemenangan mudah akan memihak kepada pihak yang satu lagi (tidak dibenci) walaupun pihak ini tahap keterampilannya sama teruk malah lebih buruk daripada pihak yang dibenci.

Bahayanya disini pemenang mesti disanjung dan diikuti walhal bagusnya tidak.
Tin kosong.

Sampai bila agaknya mereka-mereka yang tidak kaliber ini ingin bertanding dan merosakkan kualiti pertandingan populariti itu? Sepatutnya pihak-pihak yang bertanding dalam pertandingan populariti tadi mestilah terampil, kaliber dan bagus. Barulah pertandingan itu akan menjadi lebih berkualiti, bermakna dan berkesan.

Yang terjadi hari ini adalah sebaliknya.
Tidak bagus pun mahu bertanding (tidak tahu malu agaknya, gila populariti mungkin).
Pertandingan menjadi tidak bermakna.
Pemenang langsung tidak berkesan!

Selagi keadaan ini berterusan, nasib kelompok yang terlibat tidak akan terbela dan terjaga. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah kelompok yang terlibat tadi.

Padan Muka.

Monday, August 25, 2008

#10 - Dari Negara Matahari Terbit I

Dulu. Aku pernah dengar. Kawan aku cakap. Orang Jepun. Pendek. Sekarang. Bila aku di Jepun. Aku perhati. Tiada yang pendek pun? Semuanya normal. Macam orang kita.

Seperkara lagi. Aku tengok. Orang Jepun. Tiada yang obes pun? Semuanya kurus. Tak macam orang kita. Aku yang sedikit gempal dah terasa gemuk. Cis!

Rakan pejabat orang-orang Jepun kata. Kalau gemuk. Kerajaan saman. Macam tipu 'je'.

Hotel tempat aku menginap dekat dengan pejabat tempat aku bekerja. Aku berjalan ulang-alik cuma sepuluh minit. Berjalan kaki di Jepun adalah perkara biasa. Jaringan keretapi awam Jepun sangat cekap. Efisyen dan sistematik. Jadinya semua orang berjalan. Tidak perlu berkereta.

Sambil berjalan sambil aku cuci mata. Minah-minah Jepun semuanya nampak lawa. Mungkin sebab kurus. Mungkin sebab putih. Mungkin juga sebab kosmetik. Mungkin aku mata keranjang. Entahlah. Memang lawa agaknya. Masing-masing bergaya. Masing-masing berfesyen walaupun hanya hendak ke pejabat. Tapi satu yang kurang. Gigi minah-minah Jepun kuning. Kuat rokok atau kuat kopi mungkin.

Kalau engkau orang hendak tahu. Orang Jepun kuat kerja. Mereka ni kerja macam robot. Boleh kata, robot pun tak kerja kuat macam orang Jepun kerja. Kalau tokoh pekerja kita tengok orang Jepun kerja. Mesti dia angkat bendera putih. Aku masuk pejabat pukul sembilan pagi. Pukul sebelas malam baru aku keluar dari pejabat. Kalau di Stesen LRT Masjid Jamek waktu puncak pukul enam petang. Waktu puncak di Stesen Tren Shinagawa pukul sebelas malam.

Gila tak gila lah orang Jepun kerja.

Sony terpaksa mempraktikkan 'non overtime day' setiap hari Rabu untuk mengelakkan kegilaan bekerja orang Jepun menjadi-jadi. Setiap hari Rabu aku boleh nampak mereka pulang awal sedikit. Itupun waku puncak di stesen keretapi masih kekal pukul sebelas malam. Sebabnya. Orang-orang Jepun masih nak pulang lewat. Mereka akan 'kampai' sampai mabuk setiap hari Rabu sebelum pulang ke rumah.

Gila tak gila lah orang Jepun mabuk.

Waktu malam. Bila di bilik hotel. Sebelum masuk tidur. Aku ada sedikit peluang. Menonton rancangan televisyen Jepun. Orang Jepun suka main bola lisut. Jadinya kalau hotel aku ada dua saluran percuma. Setiap satu saluran percuma ada lebih-kurang sepuluh rancangan. Boleh kata lima enam rancangan tayang bola lisut. Bosan.

Yang amat menarik. Rancangan riang-ria orang Jepun. Mereka suka buat siri kuiz realiti. Suka buat rancangan pertandingan realiti. Suka buat rancangan temuramah realiti. Macam-macam. Semuanya pelik-pelik. Susah hendak aku terangkan. Istana Takeshi yang pernah ditayang di tempat kita tu pun dah pelik. Yang di Jepun lagi pelik. Walaupun pelik. Rancangan riang-ria orang Jepun. Yang amat menarik.

Apa pun. Tindak-tanduk tingkah-laku tabiat orang Jepun. Negara Jepun sendiri tetap maju. Jepun pada pandangan aku sangat-sangat maju. Orang kita kalau diberi lima puluh tahun lagi pun belum tentu boleh maju macam Jepun maju sekarang. Mereka sistematik. Mereka bersih. Mereka rajin. Mereka bertamadun. Aku kagum.

NOTA PANGLIPURLARA:
Aku tertunduk-tunduk buat ojigi lebih seratus kali sehari. Automatik kepala tu nak tunduk je. Apa cerita?

Wednesday, July 16, 2008

#9 - Harga Promosi

Minggu lepas aku ke Carrefour. Ikut mem beli barang. Jalan punya jalan alih-alih lalu di lajur barang-barang makan. Dari hujung sini aku ternampak di hujung sana satu poster yang amat mengelirukan. Keliru sampai boleh berkerut-kerut dahi. Dalam masa yang singkat perasaan runsing menguasai diri. Temperature aku automatik naik secara mengejut.

Tak masuk akal langsung. Tapi. Benar.

Harga Promosi! Maggi Kari x 5 pek
RM4.20


Promosi apa jadahnya?

Dulu. Masa zaman sekolah-sekolah.
Bila tengah sengkek.

Aku selalu cakap:
"Wa tengah takde duit ni. Makan Maggi la jawabnya."

Sekarang. Dah kerja-kerja ni.
Bila tengah sengekek.

Aku nak makan apa?

Thursday, July 3, 2008

#8 - Malam Hujan Rintik- Rintik (Automasi Mamak II)

Malam makin larut. Hujan rintik-rintik baru berhenti. Angin sepoi-sepoi. Sejuk yang amat.

Lampu nightstand sudah aku padam. Dalam kesamaran cahaya lampu jalan yang masuk melalui celahan langsir, aku masih boleh lihat jam dinding. Berbalam-balam. Dah jam dua pagi. Aku masih belum boleh lelap walaupun bilik dah separa gelap.

Tak boleh jadi ni. Rokok Pall Mall hijau yang hampir tinggal puntung aku tenyeh ke ashtray. Dalam sejuk malam. Aku tunggang motor ke Ameerali.

* * *

Malam makin larut. Hujan rintik-rintik baru berhenti. Angin sepoi-sepoi. Sejuk yang amat.

Rampwalk Remo masih gementar. Maklumlah. Ini malam pertama dia bekerja sebagai pelayan kelas 2 di Retoran Ameerali. Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Shift baru mula. Pesan bos Ameerali sebelum mula shift tadi, dia semat dalam hati. Boleh ke?

Pelanggan tengah ramai. Masing-masing dengan kerenah yang macam-macam. Rampwalk Remo kemas meja yang baru ditinggalkan sekumpulan amoi. Seksi je lebih. Makan bersepah. Satu-satu pinggan dan gelas dia kutip. Kemudian, meja yang ditumpahi kuah, dilapnya sampai bersih. Dia puas.

Baru sahaja dia meninggalkan meja, seorang pelanggan yang baru sampai, duduk. Dia melambai tanda mahu order. Cepat-cepat Rampwalk Remo hantar pinggan dan gelas ke dapur.

Boleh ke? Hatinya makin berdebar-debar...

* * *

"Remo. order thambi", laung Ameerali dari kaunter. Sambil menunding tepat ke meja aku.
"Makan? Minum?", tanya Rampwalk Remo.
"Nescafe tarik satu. Gelas kecik", selamba.
"... ....", Rampwalk Remo angguk-anguk sambil berjalan semula ke dapur.
"Kejap, kejap. Erm, Maggi goreng Malay satu", sambil aku buat muka 'ketat'. Tak sabar-sabar macha ni.
"... ....", Rampwalk Remo angguk-anguk lagi. Kali ini. Laju dia ke dapur.
"Boleh ke?", darahnya bergemuruh.

Lepas pekena Nescafe tarik dengan Maggi goreng, mesti boleh tidur. Selalunya bila perut kenyang memang senang aku masuk tidur. Rugi tak tidur cuaca sedap, sejuk-sejuk macam ni. Dah seminggu lebih, panas je memanjang.

Tiga minit.
Lima minit.
Sepuluh minit.

Last-last macha tu datang sambil bawa air dengan makanan. Lain macam je kaler Nescafe aku ni. Mana Maggi goreng?
"Macha. Ni teh tarik. Roti canai ni siapa punya ni?", muka aku makin 'ketat'. Rosak mood aku malam ni.
"... ...", Rampwalk Remo membisu. Masih buat muka cool walaupun gelabah.
"Memang tak boleh", bisik hatinya.
Ini lah benda yang membuatkan hatinya resah tak tenteram sepanjang malam.

"Sori bos. Ini worang baru kerija. Melayu tabley. Baru. India mari", tak semena-mena Ameerali muncul.
"Ni ape ni. Aku mintak lain kasi lain ni. Potong la lu Mamak. Nescafe satu. Maggi goreng satu", aku tak puas hati.
"Menu standard. Roti Kosong satu. Teh tarik satu. Sori bos.", sambil buat goyang-goyang kepala ala Mamak.

"Dey thambi. Poh poh. Tukarr orderr.", dua-dua 'ekor' kedapur sambil cakap bahasa yang aku biasa dengar tapi tak faham tu.

Ameerali bising.
Rampwalk Remo cuak.

Aku?

Menu standard. Roti Kosong satu. Teh tarik satu.

Ceh!
Macam robot.
Agaknya, semua customer dia buat order macam tu.
Boleh tahan Mamak ni.
Dua tiga bulan lagi. Macha tu. Jadi pandailah gamaknya...

Tuesday, July 1, 2008

#7 - Malam Hujan Rintik- Rintik (Automasi Mamak I)

Malam sudah larut. Hujan rintik-rintik. Angin sepoi-sepoi. Sejuk yang amat. Kalau dapat tidur tak pakai baju. Selubung dengan gebar. Memang nikmat. Mata dah kuyu.

Dua tiga batang Pall Mall hijau dah aku sebat. Tak mahu juga tidurnya. Dah dekat sepuluh kali aku menguap. Sekejap duduk. Sekejap baring. Golek kekiri. Golek kekanan. Masih tak lelap. Rugi betul kalau cuaca sedap macam ni tapi tak dapat tidur. Macam ada yang tak kena.

Lama sangat menghadap skrin komputer agaknya siang tadi?
Tak pun nak pekena Nescafe tarik mamak dulu baru boleh tidur?
Huiish. Kena tidur juga ni. Pedih-pedih mata dah ni.
Apa hal tak tidur-tidur lagi ni? Berpinar dah mata ni.

Ceh!
Tak tutup lampu rupanya.
Padanlah...

* * *

Malam sudah larut. Hujan rintik-rintik. Angin sepoi-sepoi. Sejuk yang amat. Kalau dapat tidur tak pakai baju. Selubung kain Pelikat Chop Gadja. Memang nikmat. Mata dah kuyu.

Makin berdebar-debar hati Rampwalk Remo. Hari ini. Hari pertama dia bekerja di 'luar'. Restoran Ameerali, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Di situlah tempat dia bekerja sebagai pelayan kelas 2. Sekarang.

Dulu. Empat bulan lepas. Dia hanya di dapur. Bekerja sebagai pelayan kelas 3 yang kerjanya hanyalah membasuh. Bukan sahaja pinggan mangkuk, periuk belanga, sudu camca, gelas cawan; baju pelayan-pelayan lain pun dia kena basuh. Selain membasuh; menyapu, mengelap dan mengemop adalah rutin hariannya di Restoran Ameerali.

Walaupun penat, tetapi inilah kerjaya yang telah lama Rampwalk Remo idam-idamkan. Kalau dibanding dengan kerja-kerja yang ada di kampung halamannya, nun jauh di seberang laut, kerja sebagai pelayan di Ameerali lebih class.

Kerja di Malaysia. Glamour!

Itulah sebabnya Rampwalk Remo bekerja dengan tekun. Kini. Penat lelahnya bersengkang mata menggerakkan tulang empat keratnya selama empat bulan dirantau orang sudah terbayar. Pangkatnya telah dinaikkan.

Rampwalk Remo tersenyum sambil memperbetulkan jambulnya yang beropol-ropol. Walaupun perasaannya girang bercampur bangga tetapi hati Rampwalk Remo masih gementar...

* * *

Monday, June 30, 2008

#6 - Keselamatan Dalam Negeri?

Pendatang haram berkeliaran.
Mat fit berpeleseran.
Pencopet berleluasa.

Last-last kereta aku yang kena rampok.

Rakan Cop apa cerita?
Mau kerja tamau kerja?

Wednesday, June 25, 2008

#5 - Matematik Gagalkan Aku (buat kali yang keseratus lebih)

Selepas baca entri pipiyapong yang buat aku ketawa pecah perut, aku teringat. Dulu aku pernah ketawa macam ni. Baru aku sedar, bukan ilusi optik saja yang wujud, ilusi minda pun ada.

Lewat malam itu, aku dan kawan-kawan baru habis tengok wayang. Cerita apa, aku tak ingat. Badan sejuk. Perut lapar. Tak tahu siapa punya idea, tahu-tahu semua dah bergerak menuju ke Hartamas. Punya susah nak parkir dekat Hartamas ni, pusing-pusing sepuluh kali belum tentu jumpa. Last-last jumpa parkir depan Burger King. Perut memang dah berbunyi. Burger pun jadilah.

Budak-budak ni kalau order, nafsunya mengalahkan singa lapar, duitnya macam tauke balak baru dapat laba. Makan macam syaitan. Makan punya makan, sembang punya sembang tiba-tiba Manjit buka cerita:

Ada tiga orang sahabat. Pergi makan di restoran. Dah habis makan, yang seorang ni panggil pelayan untuk minta bil.

"Dik, kira ni dik", sambil cungkil gigi.
"Dua puluh lima bang", jawab sipelayan tadi.

Masing-masing keluarkan seorang sepuluh ringgit. Tak lama kemudian, sipelayan datang dengan baki lima ringgit di tangan.

"Susah nak kira ni", kata yang cungkil gigi tadi.
"Macam ni lah".
"Adik ambil dua ringgit buat tips".
"Pulangkan tiga ringgit kat kami", kata yang seorang lagi. Menyelesaikan masalah. "Nah, ambil baki seorang seringgit".

Tadinya setiap seorang yang menyumbang 10 ringgit, dapat baki seorang seringgit. Jadinya tiga sahabat tadi dah belanja 9 ringgit setiap seorang.

Soalannya; setiap seorang keluarkan duit 9 ringgit. 9 ringgit darab 3, jumlahnya 27 ringgit. 2 ringgit dah bagi pelayan buat tips. Baru 29 ringgit. Mana lagi seringgit?


Fikir punya fikir sampai bingung. Soalan ni buat aku tak lalu makan. Aku ketawa pecah perut bila Manjit bagi jawapan. Lepas tu, sambung balik makan. Mushroom Swiss Double. Mana boleh bazir.

Friday, June 20, 2008

#4 - Sepuluh Ringgit Terbang

Sekitar tahun 2003, aku tinggal di Bukit Beruang, Melaka. Bertapa di Multimedia University (MMU).

Bukit Beruang ketika itu tidaklah havoc dan hapening macam sekarang.

Sekarang ni siap ada pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah bagai. Kedai Mamak lengkap skrin besar. Gadis seksi tapi kurang cantik berpeleseran pagi petang siang malam. Jejaka rambut berceracak ala jerung melepak tak tentu hala. Terang-benderang. Riuh-rendah. Hingar-bingar. Orang kampung boleh jadi orang bandar lepas tiga hari tinggal di Bukit Beruang. Hebat tak hebatlah penangan Bukit Beruang ni.

Itu sekarang.

Dulu, senyap-sunyi. Tapak pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah itu, sebelumnya belukar kebun koko. Waktu itu, rumah dua tingkat usang dekat pinggir belukar walapun sudah uzur masih teguh berdiri. Orang kata berhantu. Aku kata tempat pasangan-pasangan kekasih MMU berpacaran. Aku serkap jarang.

Kawan aku di MMU ramai. Tapi yang seorang ni agak kelakar, lincah dan licik. Aku pernah tinggal serumah dengan Nageb (nama sebenar). Kuat nge'teh'. Pantang diajak. Mesti mahu. Satu malam boleh lepak tiga empat kedai sampai pagi. Habis satu cawan. Bayar. Tukar kedai lagi satu. Minum satu lagi cawan. Habis. Bayar. Tukar kedai lain. Nageb pandai minum. Satu cawan teh tarik dia boleh maintain minum satu dua jam. Bergantung pada topik perbualan.

Suatu petang tu, lepas minum, aku singgah Pasar Mini Kah Kah (masih ada di Bukit Beruang). Aku nak beli kad isian semula telefon mudah alih prabayar. Kah Kah sedang bermalas-malas di kaunter kedai. Kira duitnya yang berkepuk.

"Texas5?", tanya Kah Kah. Masih mengira duit di tangan.
"Tak. Top-up tiga puluh", jawab aku. Spontan.
"Kejap", sambil buka laci. "Nah".
"Berapa uncle?", aku buat-buat tanya.
"Engkau mintak tiga puluh kan? Tiga puluh le". Boleh tahan loghat Melaka Kah Kah ni.
"Aik, itu hari dapat diskaun?", aku buat-buat tanya lagi. Cuba nasib.
"Bila masa diskaun ni. Itu tahun lepas", sambung kira duit.
"Iye lah. Nah tiga puluh. Nah nah.Pegi main jauh-jauh", aku hulur duit yang Bapak aku baru bank-in malam sebelumnya.
"Timaseh". Dia ambil duit aku. Campur duit dia. Kira lagi.

Kaya betul Kah Kah ni.

Cepat-cepat aku beredar. Aku dah lama tak call Cik Adik ni. Tak sabar nak top-up. Aku seluk saku jeans Levi's aku dengan rakus menggagau syiling. Ceh! Satu sen pun ada? Satu sen pun jadilah. Aku koyakkan plastik pembalut kad isian semula telefon mudah alih prabayar tu. Aku gores nombor siri dua belas angka dengan tangkas. Rupa-rupanya Nageb pun tengah beli barang. Dia perhati je aku dari dalam. Lain macam je dia punya senyum. Aku buat sardin.

Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Apa hal?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Lagi?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula buat kali yang ketiga.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

"Nyem, wa ingat lu dah buat magis la nyem", Nageb dah ada sebelah aku.
"Sibaikia. Bila masa wa buat magis nyem?", sambil aku garu-garu kepala aku.
"Nyem. Lu pakai Maxis. Lu beli DiGi. Sambe lu nak top-up", lain macam je senyum Nageb.
"Nyem lu jual je lah top-up lu kat gua dua puluh. Ajamane? Ade bra?", bertambah lain macan dia punya senyum Nageb ni.

Ceh! Susut duit yang Bapak aku baru bank-in malam semalam. Sepuluh ringgit terbang. Licik tak licik Nageb ni?

Wednesday, June 18, 2008

#3 - Karipap Kentang Dua, Masalodeh Dua

Pagi-pagi lagi Rampwalk Remo dah bangun. Dia perlu masuk kerja shift pagi hari ini. Sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang multinasional, disiplin dan jati diri itu amat penting. Sampai lebih awal sekurang-kurangnya 15 minit sebelum shift bermula adalah rutin baginya. Bosnya di kilang selalu pesan, "Time maneejman ne" dalam loghat Jepun sambil kepala terangguk-angguk. kata-kata itu selalu dijadikannya sebagai pendorong untuk menepati masa.

Bukan senang nak jadi operator pengeluaran. Berdiri 12 jam di production line sambil mengendali mesin merupakan tugasan harian yang mencabar. Boleh tahan seksa. Jadinya sarapan pagi adalah penting untuk mengelakkan kes pitam ataupun bisa-bisa perut di waktu tengah hari. Biasanya Rampwalk Remo akan singgah di gerai Pak Usop Lotong yang perhampiran dengan rumah pangsa tempat dia tinggal untuk membeli kuih buat sarapan.

Dari jauh orang tua itu sudah tersenyum.
"Nak beli apa baiya?"
"Nasi ka? Mi ka? Bihun ka? Kuih pun ada."
Orang tua itu senyum lagi.

'Baiya'. Gelaran biasa dikalangan orang-orang sini terhadap mereka-mereka yang sekaum dengan Rampwalk Remo.

"Kuih suda", jawabnya sambil membetul jambulnya yang beropol-ropol.

Satu-satu, kuih disepit dan disumbat ke dalam beg plastik. Rampwalk Remo hanya perlu menunding kuih pilihannya. 5 biji semuanya.

"Barpa?", sambil menyeluk kocek.
"Dua ringgit setengah", jawab Pak Usop Lotong selamba.
Dahi Rampwalk Remo berkerut.
"Dulu tahun, anam dua ringgi. Awal tahun, lima dua ringgi. Ini hari, ampat dua ringgi ka?"
"Apa nak buat baiya. Harga minyak dah naik", Pak Usop Lotong mempertahankan dirinya.
"Satu simpan. Karipap dua, masalodeh dua, dua ringgi", sambil menghulurkan dua keping not seringgit.
"Terima kasih baiya", duit dan kuih bertukar tangan.

Beg plastik digantung ke hendal mountain bikenya. Sambil mengayuh ke kilang Rampwalk Remo berkira-kira. Bab-bab duit ni Rampwalk Remo memang cerewet sikit. Bukan dia sahaja, mak, bapak, atuk, nenek dia semuanya lokek. Bukan kedekut tapi jimat.

Harga minyak naik, dia kena tanggung. Harga barang-barang naik dia kena tanggung. Pak Usop Lotong tak mahu tanggung langsung. Buktinya? Semua yang orang tua tu kena tanggung, semua dia dah caj dalam harga kuih-muih jualan dia yang dah naik harga. Dulu masa minyak murah untung banyak tu. Sekarang masa minyak naik, nak untung banyak tu juga? Banyak cantik muka Pak Usop Lotong ni.

Rampwalk Remo dah langsung tak boleh beri tumpuan. Runsing. Dia buat satu pusingan-U, balik rumah, terus tidur. Kuih Pak Usop Lotong langsung tak disentuhnya. Dah tak selera. Sebelum tidur dia berkira-kira lagi.

"Dah tak untung duduk Malaysia ni".

NOTA PANGLIPURLARA:
Baru aku sedar. Minyak naik ke, tak naik ke, peniaga untung banyak tu juga. Sepatutnya bila minyak naik, peniaga kena la tanggung sama. Bukannya hantam harga barang jualan mereka supaya kita pembeli yang tanggung kenaikan harga minyak tu untuk mereka.

Aku nak tengok ada tak kedai-kedai makan yang lepas ni short on customer headcount sebab menaikkan harga nasi, lauk-pauk dan minuman.

Mana kuasa beli kita semua? Boleh engkau orang tunjuk sikit tak?

Tuesday, June 17, 2008

#2 - Dilema Aku dan PTPTN

Aku bekas pelajar Multimedia University (MMU) dan ini kisah benar.

MMU universiti swasta. Belanja belajar mahal. Kursus dan program yang disediakan susah belaka. Tapi, aku tak aware semua tu. Umur aku baru 18 tahun. Bila surat tawaran sampai, keputusan tepat mesti dibuat dengan cepat dan tangkas. Bila difikirkan kembali, cepat dan tangkas tu memang, tapi tepat tu aku kurang pasti.

Segalanya bermula saat aku daftar dengan MMU. Aku hutang dengan PTPTN RM80,000.00. Sebab aku extend belajar setahun setengah, aku hutang pula dengan MMU RM17,000.00. Lain kali aku cerita kenapa aku extend.

Naik bukit, turun bukit, masuk hutan, keluar hutan, akhirnya aku graduate.

Sebab aku masih berhutang dengan MMU, masa aku convo, aku naik pentas dapat kotak kosong je. Sampai sekarang MMU masih 'pegang' scroll aku. Nasib baik MMU, kalau Along, dah lama tangan aku kena kerat.

Dulu aku ada motor cabuk buat modal untuk pergi kelas dan jalan-jalan keliling Melaka.
Tapi alhamdulillah sekarang aku dah bekerja.
Dapat kerja yang elok.
Gaji boleh tahan.
Dah boleh makan mewah.
Dah boleh pergi melancong.
Dah berkereta.
Dah berpasangan.

Tapi hutang apa cerita?

Aku bayar hutang MMU bulan-bulan ikut kadar kemampuan aku. Sebab? Aku nak scroll aku. Lagipun hutang MMU tiada paksaan, tiada cengkeram, tiada bunga dan seangkatan.

PTPTN lain pula cerita.

PTPTN aku bayar RM50.00 sebulan supaya tak kena saman. Dia boleh saman babe. Tapi lima puluh sebulan kalu, sampai bila nak langsai? Lepas 133 tahun habislah kot. Cucu aku boleh tolong sambung bayar nanti. Itu kalau kira guna kalkulator kita, tapi kalau guna formula PTPTN, hutang aku boleh bertambah sampai berkoyan-koyan. Tak habis-habis dia punya hutang. Ajaib. Ceti pun kalah. Along pun tak berani buat bisnes macam ni.

Inilah sebab-musabab yang menjadi punca orang marah.

PTPTN ni ada kos pentadbiran. Apa yang ditadbir mereka, aku kurang pasti. Kalau nak cerita pasal kepincangan servis PTPTN ni boleh buka post baru. Berjela-jela senarai dia. Jadi, caj 3% yang dikenakan sebagai kos pentadbiran ni, pada aku memang tak patut dan kejam.

Engkau orang mesti hairan, setakat tiga peratus pun orang nak kecoh. Bikin malu saja. Meh aku terang ajaib ke tak ajaib PTPTN ni. Lapan puluh ribu kalau dicaj tiga peratus setahun, jummlahnya dua ribu empat ratus. Kalau dua ribu empat ratus dibahagi dengan dua belas, sebulan dua ratus. Aku bayar lima puluh sebulan bersamaan enam ratus setahun. Caj dua ribu empat ratus; bayar enam ratus; baki caj seribu lapan ratus.

Jadinya, hutang aku daripada lapan puluh ribu akan meningkat tahun ke tahun sebab aku bayar kurang daripada kos pentadbiran.

Magis kan?

Orang pinjam duit nak buat belajar. Nak majukan negara. Nak penuhi tanggungjawab. Nak dapat kerja bagus-bagus. Nak sara mak ayah. Belajar itu kan satu ibadat. Tapi dia buat untung. Bikin semua orang rungut dan tensi.

Tapi aku selamba. Aku ada satu loophole.

Aku tandatangan perjanjian (agreement) berdarah dengan PTPTN ni, tahun 2000. Perjanjian orang lain yang sebelum-sebelum atau selepas-selepas, aku tak tahu. Ikut perjanjian, kalau aku mati, hutang aku kira halal. Penjamin aku pun ikut lepas sekali. Jadinya pergi jahanam sama itu PTPTN sebab kalu aku fikir banyak-banyak boleh naik gila kepala otak.

NOTA PANGLIPURLARA:
Usul kerajaan baru-baru ini hendak menurunkan kos pentadbiran sebanyak 50% sangat dinanti-nanti. Akan aku ikuti sandiwara semasa kerajaan melalui surat khabar tidak lama lagi. Siapa yang jadi hero, siapa yang jadi crook; atau hanya sembang kosong politik saja?

Friday, June 13, 2008

#1 - Intro

Blog aku yang entah keberapa ni dah siap.

Tarik nafas dalam-dalam.

Aku rasa, aku nak serius menulis. Kali ni aku agak serius. Engkau semua jangan ketawa. Aku serius. Sejak mula-mula aku kenal internet, sejak zaman aku main IRC 12 tahun yang lepas, aku rasa dah dekat tujuh lapan blog pernah aku bangunkan. Jujur aku nyatakan yang hampir semua (bukan semua) blog-blog aku tu karut. Masa tengah putus cinta, buka blog untuk maki bekas awek. Masa tengah gila computer, buka blog tentang IT. Masa tengah kusut, buka blog untuk lepas geram. Macam-macam. Maklumlah. Penulisan orang muda. Darah tengah mendidih.

Encik Azman, bekas pensyarah aku pernah kata;
"You write. Please write. You can write anything about everything. Intellectual to nonsense, humor to entertainment, about war, about racism, chose your topic or genre. We are fully all-rounder educated generation; not like our forefathers where among them intellects are scarce."

"People will read, most of them will."

Lama dah. Setahun dua lepas. Aku pendamkan saja. Masa dia jumpa bapak aku, Cikgu Daud, dia cerita lagi benda yang sama. Kelakar juga Encik Azman tu.

Tapi, ada betulnya cakap dia tu. Sekurang-kurangya aku boleh kongsi wisdom aku kepada engkau semua. echeeh. Boleh aku isi masa lapang aku dekat pejabat ni. Pening juga kepala otak aku hari-hari buat programming. Boleh buat ubat.

Lagipun, sebenarnya aku ni pelupa. Boleh kata semua perkara penting aku tulis atas kertas. Dulu masa aku duduk asrama, setiap kali nak balik kampung, aku akan packing sikit-sikit. Disebabkan aku ni pelupa, aku akan buat satu senarai pakaian yang aku bawa balik kampung, supaya bila balik semula ke asrama, aku tak tertinggal pakaian aku di kampung. Boleh tahan nerd juga aku masa sekolah dulu. Jadi, bila aku mula menulis sekarang, perkara-perkara yang aku tulis di sini taklah aku lupa.

Tarik nafas dalam-dalam.

Harapan aku kali ni, biarlah datang seru aku untuk menulis. Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam. Idea tu, biarlah datang mencurah-curah. Nanti, baru senang aku nak buat post. Engkau semua (sesiapa yang baca) aku harap engkau semua akan dapat kongsi wisdom daripada hasil penulisan aku ini. Paling tidak, masa lapang engkau semua terisi. Taklah asyik melayan pornografi dekat internet saja.

Mulai hari ini, bermulalah hidup aku sebagai penulis sambilan kecil-kecilan.

Amin.

Thursday, May 1, 2008

Death

If death is heaven, 
that is enough for me... 
And if death is hell, 
oh well.

Zarathud's Enlightenment

Before he became a hermit, Zarathud was a young Priest, and took great delight in making fools of his opponents in front of his followers.

One day Zarathud took his students to a pleasant pasture and there he confronted The Sacred Chao while She was contentedly grazing.

"Tell me, you dumb beast." demanded the Priest in his commanding voice, "why don't you do something worthwhile. What is your Purpose in Life, anyway?"

Munching the tasty grass, The Sacred Chao replied "MU".*

Upon hearing this, absolutely nobody was enlightened. Primarily because nobody could understand Chinese.

* "MU" is the Chinese ideogram for NO-THING

The Epoch

(al-asr The Noble Qur'an chapter 103)

In the name of Allah, the Compassionate, the Merciful.

By the declining day,
Lo! man is in a state of loss,
Save those who believe and do good works, and exhort one another to truth and exhort one another to endurance.