Panas terik mentari tidak dihiraukan. Miang renyam lalang juga tidak dipedulikan. Berdiri terus-menerus dua belas jam di production line sambil mengendali mesin pun dia biasa. Inikan pula mencangkung sambil berpelekat dan bersinglet di tanah belakang rumah pangsa tempat dia tinggal. Apalah sangat dengan panas dan miang tu. Orang Melayu kata, alah bisa tegal biasa. Janji hatinya lapang.
Tersenyum sinis Rampwalk Remo. Kembang-kuncup hidungnya. Api yang marak itu ditenungnya bersahaja. Macam budak baru lepas pekena ais kacang free lagaknya.
Puas!
Pagi tadi. Rampwalk Remo bangun lewat sedikit daripada hari-hari biasa. Maklumlah hari cuti. Setiap minit, setiap saat harus dihargai betul-betul. Apalagi operator pengeluaran macam dia. Dalam seminggu, hanya satu hari cuti yang diberikan majikan. Berbanding dengan rakan-rakan serumah, dia agak beruntung. Ada diantara mereka yang langsung tak diberi cuti oleh majikan. Jadinya, pengisian aktiviti pada hari cuti amat penting. Rugi kalau tersilap. Hendak tunggu cuti minggu hadapan mamang jenuh.
Setelah puas bermalas-malas atas tikar tempat tidur, Rampwalk Remo ke dapur. Nasi goreng dua ringgit semalam yang masih berbaki separuh dicapai. Kopi pekat dalam termos yang masih suam-suam kuku dituang tiga suku ke dalam gelas ayan. Dia bersila di depan tv. Sudah seminggu tv tu rosak. Bukan tv yang hendak ditonton, tapi, Rampwalk Remo dah biasa makan di depan tv. Selesa. Luas. Bilik dan dapur kecil dan bersepah. Ruang tamu agak besar dan bersih. Perutnya yang lapar dan hatinya yang riang, membuatkan hidangan terasa sedap walaupun cuma nasi goreng pasar malam dan kopi berkeladak yang dijamah.
Sambil makan, sambil Rampwalk Remo berkira-kira. Dia tak boleh keluar membeli-belah hari ni. Keluar berjalan-jalan pun dia tak mampu. Wang gaji sebahagian besar sudah dihantar ke kampung di seberang laut. Sebahagian sudah dibuat bayaran levi untuk imigresen. Yang tinggal hanya cukup untuk seminggu sementara gaji hujung bulan.
Habis makan. Dia mati kutu. Bosan. "Perut dah kenyang. TV rosak. Layan radiolah".
Radio kecil tu dia beli di Tesco tahun lepas. Walaupun murah, fungsinya cukup.
Dia laras tombol frekuensi.
Era FM - Rentak muzik terkini.
"Aduh sakit kepalaku. Uphamol enam lima kosong melegakan ..."
"Cit poodah. Iklan."
Dia laras tombol frekuensi lagi.
Hot FM - Lebih hangat daripada biasa.
"Kalau makcik jumpa Ronaldo, makcik akan marah dia ..."
"Cit poodah. Iklan."
Dia laras ke tombol frekuensi lagi.
Hitz FM - Malaysia's No. 1 hit station.
"Daling ah, do you know that we spend more than ..."
"Cit poodah. Iklan."
Dia laras tombol frekuensi lagi.
Mix FM - Tune me on.
"Mix FM Malaysia's best variety ..."
"Cit poodah. Iklan"
Dia laras tombol frekuensi lagi.
Sinar FM - Muzik retro terbaik.
"Masak beras moghul basmati sajalah ..."
"Cit poodah. Iklan lagi ka."
Dia laras tombol frekuensi lagi. Lagi. Dan lagi. Dari hujung ke hujung. Lagi. Dan lagi.
Dei thambi!
Apa cerita?
Semua iklan?
Dah la bosan. Duit tade. Mau dengar radio, radio bikin kacra. Boleh
ka iklan serentak semua station. Radio is for entertaintment, not advertising la dei.
Rampwalk Remo panas. Fikirannya terganggu. Laju je dia ke dapur. Botol minyak tanah dicapainya. Radio kecil Tesco disentapnya. Pintu rumah dihentamnya. Wayar radio dilibasnya kiri dan kanan. Tanah lapang belakang rumah pangsa ditujunya.
Kalau di kampungnya sana, bila wayang tak best dia orang bakar pawagam. Di Malaysia, bakar radio pun jadilah.
Puas!
Macam budak baru lepas pekena ais kacang free lagaknya. Api yang marak itu ditenungnya bersahaja. Kembang-kuncup hidungnya. Tersenyum sinis Rampwalk Remo.
2 comments :
nice entry! :P
yash: thanks
Post a Comment