Monday, June 30, 2008

#6 - Keselamatan Dalam Negeri?

Pendatang haram berkeliaran.
Mat fit berpeleseran.
Pencopet berleluasa.

Last-last kereta aku yang kena rampok.

Rakan Cop apa cerita?
Mau kerja tamau kerja?

Wednesday, June 25, 2008

#5 - Matematik Gagalkan Aku (buat kali yang keseratus lebih)

Selepas baca entri pipiyapong yang buat aku ketawa pecah perut, aku teringat. Dulu aku pernah ketawa macam ni. Baru aku sedar, bukan ilusi optik saja yang wujud, ilusi minda pun ada.

Lewat malam itu, aku dan kawan-kawan baru habis tengok wayang. Cerita apa, aku tak ingat. Badan sejuk. Perut lapar. Tak tahu siapa punya idea, tahu-tahu semua dah bergerak menuju ke Hartamas. Punya susah nak parkir dekat Hartamas ni, pusing-pusing sepuluh kali belum tentu jumpa. Last-last jumpa parkir depan Burger King. Perut memang dah berbunyi. Burger pun jadilah.

Budak-budak ni kalau order, nafsunya mengalahkan singa lapar, duitnya macam tauke balak baru dapat laba. Makan macam syaitan. Makan punya makan, sembang punya sembang tiba-tiba Manjit buka cerita:

Ada tiga orang sahabat. Pergi makan di restoran. Dah habis makan, yang seorang ni panggil pelayan untuk minta bil.

"Dik, kira ni dik", sambil cungkil gigi.
"Dua puluh lima bang", jawab sipelayan tadi.

Masing-masing keluarkan seorang sepuluh ringgit. Tak lama kemudian, sipelayan datang dengan baki lima ringgit di tangan.

"Susah nak kira ni", kata yang cungkil gigi tadi.
"Macam ni lah".
"Adik ambil dua ringgit buat tips".
"Pulangkan tiga ringgit kat kami", kata yang seorang lagi. Menyelesaikan masalah. "Nah, ambil baki seorang seringgit".

Tadinya setiap seorang yang menyumbang 10 ringgit, dapat baki seorang seringgit. Jadinya tiga sahabat tadi dah belanja 9 ringgit setiap seorang.

Soalannya; setiap seorang keluarkan duit 9 ringgit. 9 ringgit darab 3, jumlahnya 27 ringgit. 2 ringgit dah bagi pelayan buat tips. Baru 29 ringgit. Mana lagi seringgit?


Fikir punya fikir sampai bingung. Soalan ni buat aku tak lalu makan. Aku ketawa pecah perut bila Manjit bagi jawapan. Lepas tu, sambung balik makan. Mushroom Swiss Double. Mana boleh bazir.

Friday, June 20, 2008

#4 - Sepuluh Ringgit Terbang

Sekitar tahun 2003, aku tinggal di Bukit Beruang, Melaka. Bertapa di Multimedia University (MMU).

Bukit Beruang ketika itu tidaklah havoc dan hapening macam sekarang.

Sekarang ni siap ada pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah bagai. Kedai Mamak lengkap skrin besar. Gadis seksi tapi kurang cantik berpeleseran pagi petang siang malam. Jejaka rambut berceracak ala jerung melepak tak tentu hala. Terang-benderang. Riuh-rendah. Hingar-bingar. Orang kampung boleh jadi orang bandar lepas tiga hari tinggal di Bukit Beruang. Hebat tak hebatlah penangan Bukit Beruang ni.

Itu sekarang.

Dulu, senyap-sunyi. Tapak pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah itu, sebelumnya belukar kebun koko. Waktu itu, rumah dua tingkat usang dekat pinggir belukar walapun sudah uzur masih teguh berdiri. Orang kata berhantu. Aku kata tempat pasangan-pasangan kekasih MMU berpacaran. Aku serkap jarang.

Kawan aku di MMU ramai. Tapi yang seorang ni agak kelakar, lincah dan licik. Aku pernah tinggal serumah dengan Nageb (nama sebenar). Kuat nge'teh'. Pantang diajak. Mesti mahu. Satu malam boleh lepak tiga empat kedai sampai pagi. Habis satu cawan. Bayar. Tukar kedai lagi satu. Minum satu lagi cawan. Habis. Bayar. Tukar kedai lain. Nageb pandai minum. Satu cawan teh tarik dia boleh maintain minum satu dua jam. Bergantung pada topik perbualan.

Suatu petang tu, lepas minum, aku singgah Pasar Mini Kah Kah (masih ada di Bukit Beruang). Aku nak beli kad isian semula telefon mudah alih prabayar. Kah Kah sedang bermalas-malas di kaunter kedai. Kira duitnya yang berkepuk.

"Texas5?", tanya Kah Kah. Masih mengira duit di tangan.
"Tak. Top-up tiga puluh", jawab aku. Spontan.
"Kejap", sambil buka laci. "Nah".
"Berapa uncle?", aku buat-buat tanya.
"Engkau mintak tiga puluh kan? Tiga puluh le". Boleh tahan loghat Melaka Kah Kah ni.
"Aik, itu hari dapat diskaun?", aku buat-buat tanya lagi. Cuba nasib.
"Bila masa diskaun ni. Itu tahun lepas", sambung kira duit.
"Iye lah. Nah tiga puluh. Nah nah.Pegi main jauh-jauh", aku hulur duit yang Bapak aku baru bank-in malam sebelumnya.
"Timaseh". Dia ambil duit aku. Campur duit dia. Kira lagi.

Kaya betul Kah Kah ni.

Cepat-cepat aku beredar. Aku dah lama tak call Cik Adik ni. Tak sabar nak top-up. Aku seluk saku jeans Levi's aku dengan rakus menggagau syiling. Ceh! Satu sen pun ada? Satu sen pun jadilah. Aku koyakkan plastik pembalut kad isian semula telefon mudah alih prabayar tu. Aku gores nombor siri dua belas angka dengan tangkas. Rupa-rupanya Nageb pun tengah beli barang. Dia perhati je aku dari dalam. Lain macam je dia punya senyum. Aku buat sardin.

Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Apa hal?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Lagi?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula buat kali yang ketiga.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

"Nyem, wa ingat lu dah buat magis la nyem", Nageb dah ada sebelah aku.
"Sibaikia. Bila masa wa buat magis nyem?", sambil aku garu-garu kepala aku.
"Nyem. Lu pakai Maxis. Lu beli DiGi. Sambe lu nak top-up", lain macam je senyum Nageb.
"Nyem lu jual je lah top-up lu kat gua dua puluh. Ajamane? Ade bra?", bertambah lain macan dia punya senyum Nageb ni.

Ceh! Susut duit yang Bapak aku baru bank-in malam semalam. Sepuluh ringgit terbang. Licik tak licik Nageb ni?

Wednesday, June 18, 2008

#3 - Karipap Kentang Dua, Masalodeh Dua

Pagi-pagi lagi Rampwalk Remo dah bangun. Dia perlu masuk kerja shift pagi hari ini. Sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang multinasional, disiplin dan jati diri itu amat penting. Sampai lebih awal sekurang-kurangnya 15 minit sebelum shift bermula adalah rutin baginya. Bosnya di kilang selalu pesan, "Time maneejman ne" dalam loghat Jepun sambil kepala terangguk-angguk. kata-kata itu selalu dijadikannya sebagai pendorong untuk menepati masa.

Bukan senang nak jadi operator pengeluaran. Berdiri 12 jam di production line sambil mengendali mesin merupakan tugasan harian yang mencabar. Boleh tahan seksa. Jadinya sarapan pagi adalah penting untuk mengelakkan kes pitam ataupun bisa-bisa perut di waktu tengah hari. Biasanya Rampwalk Remo akan singgah di gerai Pak Usop Lotong yang perhampiran dengan rumah pangsa tempat dia tinggal untuk membeli kuih buat sarapan.

Dari jauh orang tua itu sudah tersenyum.
"Nak beli apa baiya?"
"Nasi ka? Mi ka? Bihun ka? Kuih pun ada."
Orang tua itu senyum lagi.

'Baiya'. Gelaran biasa dikalangan orang-orang sini terhadap mereka-mereka yang sekaum dengan Rampwalk Remo.

"Kuih suda", jawabnya sambil membetul jambulnya yang beropol-ropol.

Satu-satu, kuih disepit dan disumbat ke dalam beg plastik. Rampwalk Remo hanya perlu menunding kuih pilihannya. 5 biji semuanya.

"Barpa?", sambil menyeluk kocek.
"Dua ringgit setengah", jawab Pak Usop Lotong selamba.
Dahi Rampwalk Remo berkerut.
"Dulu tahun, anam dua ringgi. Awal tahun, lima dua ringgi. Ini hari, ampat dua ringgi ka?"
"Apa nak buat baiya. Harga minyak dah naik", Pak Usop Lotong mempertahankan dirinya.
"Satu simpan. Karipap dua, masalodeh dua, dua ringgi", sambil menghulurkan dua keping not seringgit.
"Terima kasih baiya", duit dan kuih bertukar tangan.

Beg plastik digantung ke hendal mountain bikenya. Sambil mengayuh ke kilang Rampwalk Remo berkira-kira. Bab-bab duit ni Rampwalk Remo memang cerewet sikit. Bukan dia sahaja, mak, bapak, atuk, nenek dia semuanya lokek. Bukan kedekut tapi jimat.

Harga minyak naik, dia kena tanggung. Harga barang-barang naik dia kena tanggung. Pak Usop Lotong tak mahu tanggung langsung. Buktinya? Semua yang orang tua tu kena tanggung, semua dia dah caj dalam harga kuih-muih jualan dia yang dah naik harga. Dulu masa minyak murah untung banyak tu. Sekarang masa minyak naik, nak untung banyak tu juga? Banyak cantik muka Pak Usop Lotong ni.

Rampwalk Remo dah langsung tak boleh beri tumpuan. Runsing. Dia buat satu pusingan-U, balik rumah, terus tidur. Kuih Pak Usop Lotong langsung tak disentuhnya. Dah tak selera. Sebelum tidur dia berkira-kira lagi.

"Dah tak untung duduk Malaysia ni".

NOTA PANGLIPURLARA:
Baru aku sedar. Minyak naik ke, tak naik ke, peniaga untung banyak tu juga. Sepatutnya bila minyak naik, peniaga kena la tanggung sama. Bukannya hantam harga barang jualan mereka supaya kita pembeli yang tanggung kenaikan harga minyak tu untuk mereka.

Aku nak tengok ada tak kedai-kedai makan yang lepas ni short on customer headcount sebab menaikkan harga nasi, lauk-pauk dan minuman.

Mana kuasa beli kita semua? Boleh engkau orang tunjuk sikit tak?

Tuesday, June 17, 2008

#2 - Dilema Aku dan PTPTN

Aku bekas pelajar Multimedia University (MMU) dan ini kisah benar.

MMU universiti swasta. Belanja belajar mahal. Kursus dan program yang disediakan susah belaka. Tapi, aku tak aware semua tu. Umur aku baru 18 tahun. Bila surat tawaran sampai, keputusan tepat mesti dibuat dengan cepat dan tangkas. Bila difikirkan kembali, cepat dan tangkas tu memang, tapi tepat tu aku kurang pasti.

Segalanya bermula saat aku daftar dengan MMU. Aku hutang dengan PTPTN RM80,000.00. Sebab aku extend belajar setahun setengah, aku hutang pula dengan MMU RM17,000.00. Lain kali aku cerita kenapa aku extend.

Naik bukit, turun bukit, masuk hutan, keluar hutan, akhirnya aku graduate.

Sebab aku masih berhutang dengan MMU, masa aku convo, aku naik pentas dapat kotak kosong je. Sampai sekarang MMU masih 'pegang' scroll aku. Nasib baik MMU, kalau Along, dah lama tangan aku kena kerat.

Dulu aku ada motor cabuk buat modal untuk pergi kelas dan jalan-jalan keliling Melaka.
Tapi alhamdulillah sekarang aku dah bekerja.
Dapat kerja yang elok.
Gaji boleh tahan.
Dah boleh makan mewah.
Dah boleh pergi melancong.
Dah berkereta.
Dah berpasangan.

Tapi hutang apa cerita?

Aku bayar hutang MMU bulan-bulan ikut kadar kemampuan aku. Sebab? Aku nak scroll aku. Lagipun hutang MMU tiada paksaan, tiada cengkeram, tiada bunga dan seangkatan.

PTPTN lain pula cerita.

PTPTN aku bayar RM50.00 sebulan supaya tak kena saman. Dia boleh saman babe. Tapi lima puluh sebulan kalu, sampai bila nak langsai? Lepas 133 tahun habislah kot. Cucu aku boleh tolong sambung bayar nanti. Itu kalau kira guna kalkulator kita, tapi kalau guna formula PTPTN, hutang aku boleh bertambah sampai berkoyan-koyan. Tak habis-habis dia punya hutang. Ajaib. Ceti pun kalah. Along pun tak berani buat bisnes macam ni.

Inilah sebab-musabab yang menjadi punca orang marah.

PTPTN ni ada kos pentadbiran. Apa yang ditadbir mereka, aku kurang pasti. Kalau nak cerita pasal kepincangan servis PTPTN ni boleh buka post baru. Berjela-jela senarai dia. Jadi, caj 3% yang dikenakan sebagai kos pentadbiran ni, pada aku memang tak patut dan kejam.

Engkau orang mesti hairan, setakat tiga peratus pun orang nak kecoh. Bikin malu saja. Meh aku terang ajaib ke tak ajaib PTPTN ni. Lapan puluh ribu kalau dicaj tiga peratus setahun, jummlahnya dua ribu empat ratus. Kalau dua ribu empat ratus dibahagi dengan dua belas, sebulan dua ratus. Aku bayar lima puluh sebulan bersamaan enam ratus setahun. Caj dua ribu empat ratus; bayar enam ratus; baki caj seribu lapan ratus.

Jadinya, hutang aku daripada lapan puluh ribu akan meningkat tahun ke tahun sebab aku bayar kurang daripada kos pentadbiran.

Magis kan?

Orang pinjam duit nak buat belajar. Nak majukan negara. Nak penuhi tanggungjawab. Nak dapat kerja bagus-bagus. Nak sara mak ayah. Belajar itu kan satu ibadat. Tapi dia buat untung. Bikin semua orang rungut dan tensi.

Tapi aku selamba. Aku ada satu loophole.

Aku tandatangan perjanjian (agreement) berdarah dengan PTPTN ni, tahun 2000. Perjanjian orang lain yang sebelum-sebelum atau selepas-selepas, aku tak tahu. Ikut perjanjian, kalau aku mati, hutang aku kira halal. Penjamin aku pun ikut lepas sekali. Jadinya pergi jahanam sama itu PTPTN sebab kalu aku fikir banyak-banyak boleh naik gila kepala otak.

NOTA PANGLIPURLARA:
Usul kerajaan baru-baru ini hendak menurunkan kos pentadbiran sebanyak 50% sangat dinanti-nanti. Akan aku ikuti sandiwara semasa kerajaan melalui surat khabar tidak lama lagi. Siapa yang jadi hero, siapa yang jadi crook; atau hanya sembang kosong politik saja?

Friday, June 13, 2008

#1 - Intro

Blog aku yang entah keberapa ni dah siap.

Tarik nafas dalam-dalam.

Aku rasa, aku nak serius menulis. Kali ni aku agak serius. Engkau semua jangan ketawa. Aku serius. Sejak mula-mula aku kenal internet, sejak zaman aku main IRC 12 tahun yang lepas, aku rasa dah dekat tujuh lapan blog pernah aku bangunkan. Jujur aku nyatakan yang hampir semua (bukan semua) blog-blog aku tu karut. Masa tengah putus cinta, buka blog untuk maki bekas awek. Masa tengah gila computer, buka blog tentang IT. Masa tengah kusut, buka blog untuk lepas geram. Macam-macam. Maklumlah. Penulisan orang muda. Darah tengah mendidih.

Encik Azman, bekas pensyarah aku pernah kata;
"You write. Please write. You can write anything about everything. Intellectual to nonsense, humor to entertainment, about war, about racism, chose your topic or genre. We are fully all-rounder educated generation; not like our forefathers where among them intellects are scarce."

"People will read, most of them will."

Lama dah. Setahun dua lepas. Aku pendamkan saja. Masa dia jumpa bapak aku, Cikgu Daud, dia cerita lagi benda yang sama. Kelakar juga Encik Azman tu.

Tapi, ada betulnya cakap dia tu. Sekurang-kurangya aku boleh kongsi wisdom aku kepada engkau semua. echeeh. Boleh aku isi masa lapang aku dekat pejabat ni. Pening juga kepala otak aku hari-hari buat programming. Boleh buat ubat.

Lagipun, sebenarnya aku ni pelupa. Boleh kata semua perkara penting aku tulis atas kertas. Dulu masa aku duduk asrama, setiap kali nak balik kampung, aku akan packing sikit-sikit. Disebabkan aku ni pelupa, aku akan buat satu senarai pakaian yang aku bawa balik kampung, supaya bila balik semula ke asrama, aku tak tertinggal pakaian aku di kampung. Boleh tahan nerd juga aku masa sekolah dulu. Jadi, bila aku mula menulis sekarang, perkara-perkara yang aku tulis di sini taklah aku lupa.

Tarik nafas dalam-dalam.

Harapan aku kali ni, biarlah datang seru aku untuk menulis. Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam. Idea tu, biarlah datang mencurah-curah. Nanti, baru senang aku nak buat post. Engkau semua (sesiapa yang baca) aku harap engkau semua akan dapat kongsi wisdom daripada hasil penulisan aku ini. Paling tidak, masa lapang engkau semua terisi. Taklah asyik melayan pornografi dekat internet saja.

Mulai hari ini, bermulalah hidup aku sebagai penulis sambilan kecil-kecilan.

Amin.