Showing posts with label Tiada Kaitan. Show all posts
Showing posts with label Tiada Kaitan. Show all posts

Tuesday, June 9, 2009

#29 - Hujan Batu

Di suatu malam yang hening, ketika berjalan pulang dari kerja, aku seluk poket seluar jeans. Aku capai kotak rokok Pall Mall hijau yang ada gambar anak makhluk asing tu. Tinggal sebatang. Aku hampa. Bekalan rokok yang aku bawa dari Malaysia lima kotak semuanya sudah kehabisan.

Waktu itu cuaca amat sejuk dan mungkin hujan akan turun sebab langit gelap. Aku zip baju sejuk sampai atas. Sampai paras leher. Masih sejuk. Di kejauhan, di celah-celah bangunan-bangunan pejabat yang meninggi aku nampak Tokyo Tower. Semalam lampu kuning. Hari ni lampu biru. Memang selalu-selalu lampu kuning. Hari saja yang lampu biru. Mungkin sebab Jepun dah layak Piala Dunia 2010 kot.

Perjalanan pulang ke hotel terpaksa dilencongkan ke 7-Eleven terdekat. Macam biasa staf-staf 7-Eleven di kaunter menyambut aku dengan ucapan-ucapan mesra yang aku tak faham walaupun mereka sedang sibuk melayan pelanggan lain.

Sampai di depan kaunter aku buntu. Banyak sangat rokok hijau. Minah kaunter tu tengok aku. Aku tengok minah kaunter tu. Dia senyum. Aku senyum. Dalam banyak-banyak rokok rokok hijau dekat kaunter tu aku ternampak:

Nutty Menthol

Wow! Sungguh catchy. Tanpa berfikir panjang, aku tunding tepat hala rokok yang itu.

"Kore?" minah kaunter tu tanya aku.
"Hait." aku jawab spontan.

Rokok 320 yen, neskepe panas tin kecil 105 yen. Keluar je 7-Eleven terus aku ketuk-ketuk rokok tu di tapak tangan. Dah jadi kebiasaan. Bagi padat tembakau dalam rokok tu konon-kononnya.

Sambil jalan malam-malam buta, angin sepoi-sepoi, cuaca sejuk-sejuk, hisap rokok sejuk, minum neskepe panas, memang neat. Tapi itu hanya mainan perasaan.

Damn! Apasal rasa rokok ni macam celaka?

Sah aku homesick.

"Nasib baik aku masih ada sebatang Pall Mall hijau
untuk emergency"

Betul kata orang.
Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Ya memang aku homesick.
Dan lagi ...
Aku rindu minah kawai ni.

Monday, April 13, 2009

#27 - Kenapa Aku Rasa Berat Badan Aku Naik Walaupun Aku Susah Nak Cari Makan?

Sudah genab satu minggu aku tak dapat makan daging lembu, daging kambing dan daging ayam. Apalagi nasi beriyani. Dalam mimpi pun belum tentu.

Setiap kali makan tengah hari dan makan malam; menunya sentiasa sama. Ikan, udang, sotong, belut dan ulang semula. Kuantiti lauk pun sedikit. Hanya secebis. Ikan, udang, sotong, belut dan ulang semula. Semuanya terasa kicap manis, kicap masin, kicap masam dan segala macam kicap. Bosan weh!

Waktu-waktu begini, akan terkenang betapa kita semua sebenarnya lemah. Macam mana Mat Fit ketagih gam, macam tu juga aku ketagih beriyani gam.

Hujung minggu lepas aku dapat 'obat'. EBI Filet-O, Fish-O Filet dan ulang.
Ya. Ulang semula. Kali ini untuk lunch dan dinner, termasuk supper.

Hidup seperti sudah lengkap dan dunia terasa sangat indah selepas itu.

Monday, February 2, 2009

#24 - Berapa?

Terlalu ramai yang tak pernah dengar.
Banyak yang tak ingat.
Hanya sedikit yang tahu.
Ni. Atuk mau cerita...

Safian Gulam Rabani (1916-2006)

Baru-baru ini aku terjumpa Panduan Sifir Sukatan dan Timbangan (Melayu/British). Teringat masa Atuk aku bercerita tentang sukat dan ukur. Dia memang suka bercerita. Orang Melayu kita memang tinggi ilmu pengetahuannya. Bahasa Melayu kita memang kaya tatabahasanya. Ini sedikit sedutan daripada pembacaan aku:

Panjang (kain)
2 pelempap = 1 jengkal
2 jengkal = 1 hasta
2 hasta = 1 ela
1 ela berapa meter?

Isi
2 kepul = 1 leng
2 leng = 1 cupak
2 cupak = 1 arai
2 arai = 1 gantang
1 gantang berapa liter?

Berat
16 tahil = 1 kati
100 kati = 1 pikul
40 pikul = 1 koyan
1 koyan berapa tan?

Dipetik dari Hilang Punca:
"...tak ke berkoyan koyan duit aku..."

Pipiyapong, 1 koyan berapa tan beb?

Wednesday, June 25, 2008

#5 - Matematik Gagalkan Aku (buat kali yang keseratus lebih)

Selepas baca entri pipiyapong yang buat aku ketawa pecah perut, aku teringat. Dulu aku pernah ketawa macam ni. Baru aku sedar, bukan ilusi optik saja yang wujud, ilusi minda pun ada.

Lewat malam itu, aku dan kawan-kawan baru habis tengok wayang. Cerita apa, aku tak ingat. Badan sejuk. Perut lapar. Tak tahu siapa punya idea, tahu-tahu semua dah bergerak menuju ke Hartamas. Punya susah nak parkir dekat Hartamas ni, pusing-pusing sepuluh kali belum tentu jumpa. Last-last jumpa parkir depan Burger King. Perut memang dah berbunyi. Burger pun jadilah.

Budak-budak ni kalau order, nafsunya mengalahkan singa lapar, duitnya macam tauke balak baru dapat laba. Makan macam syaitan. Makan punya makan, sembang punya sembang tiba-tiba Manjit buka cerita:

Ada tiga orang sahabat. Pergi makan di restoran. Dah habis makan, yang seorang ni panggil pelayan untuk minta bil.

"Dik, kira ni dik", sambil cungkil gigi.
"Dua puluh lima bang", jawab sipelayan tadi.

Masing-masing keluarkan seorang sepuluh ringgit. Tak lama kemudian, sipelayan datang dengan baki lima ringgit di tangan.

"Susah nak kira ni", kata yang cungkil gigi tadi.
"Macam ni lah".
"Adik ambil dua ringgit buat tips".
"Pulangkan tiga ringgit kat kami", kata yang seorang lagi. Menyelesaikan masalah. "Nah, ambil baki seorang seringgit".

Tadinya setiap seorang yang menyumbang 10 ringgit, dapat baki seorang seringgit. Jadinya tiga sahabat tadi dah belanja 9 ringgit setiap seorang.

Soalannya; setiap seorang keluarkan duit 9 ringgit. 9 ringgit darab 3, jumlahnya 27 ringgit. 2 ringgit dah bagi pelayan buat tips. Baru 29 ringgit. Mana lagi seringgit?


Fikir punya fikir sampai bingung. Soalan ni buat aku tak lalu makan. Aku ketawa pecah perut bila Manjit bagi jawapan. Lepas tu, sambung balik makan. Mushroom Swiss Double. Mana boleh bazir.