Showing posts with label MMU. Show all posts
Showing posts with label MMU. Show all posts

Friday, June 20, 2008

#4 - Sepuluh Ringgit Terbang

Sekitar tahun 2003, aku tinggal di Bukit Beruang, Melaka. Bertapa di Multimedia University (MMU).

Bukit Beruang ketika itu tidaklah havoc dan hapening macam sekarang.

Sekarang ni siap ada pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah bagai. Kedai Mamak lengkap skrin besar. Gadis seksi tapi kurang cantik berpeleseran pagi petang siang malam. Jejaka rambut berceracak ala jerung melepak tak tentu hala. Terang-benderang. Riuh-rendah. Hingar-bingar. Orang kampung boleh jadi orang bandar lepas tiga hari tinggal di Bukit Beruang. Hebat tak hebatlah penangan Bukit Beruang ni.

Itu sekarang.

Dulu, senyap-sunyi. Tapak pangsapuri, kolam renang, kafe siber yang mewah itu, sebelumnya belukar kebun koko. Waktu itu, rumah dua tingkat usang dekat pinggir belukar walapun sudah uzur masih teguh berdiri. Orang kata berhantu. Aku kata tempat pasangan-pasangan kekasih MMU berpacaran. Aku serkap jarang.

Kawan aku di MMU ramai. Tapi yang seorang ni agak kelakar, lincah dan licik. Aku pernah tinggal serumah dengan Nageb (nama sebenar). Kuat nge'teh'. Pantang diajak. Mesti mahu. Satu malam boleh lepak tiga empat kedai sampai pagi. Habis satu cawan. Bayar. Tukar kedai lagi satu. Minum satu lagi cawan. Habis. Bayar. Tukar kedai lain. Nageb pandai minum. Satu cawan teh tarik dia boleh maintain minum satu dua jam. Bergantung pada topik perbualan.

Suatu petang tu, lepas minum, aku singgah Pasar Mini Kah Kah (masih ada di Bukit Beruang). Aku nak beli kad isian semula telefon mudah alih prabayar. Kah Kah sedang bermalas-malas di kaunter kedai. Kira duitnya yang berkepuk.

"Texas5?", tanya Kah Kah. Masih mengira duit di tangan.
"Tak. Top-up tiga puluh", jawab aku. Spontan.
"Kejap", sambil buka laci. "Nah".
"Berapa uncle?", aku buat-buat tanya.
"Engkau mintak tiga puluh kan? Tiga puluh le". Boleh tahan loghat Melaka Kah Kah ni.
"Aik, itu hari dapat diskaun?", aku buat-buat tanya lagi. Cuba nasib.
"Bila masa diskaun ni. Itu tahun lepas", sambung kira duit.
"Iye lah. Nah tiga puluh. Nah nah.Pegi main jauh-jauh", aku hulur duit yang Bapak aku baru bank-in malam sebelumnya.
"Timaseh". Dia ambil duit aku. Campur duit dia. Kira lagi.

Kaya betul Kah Kah ni.

Cepat-cepat aku beredar. Aku dah lama tak call Cik Adik ni. Tak sabar nak top-up. Aku seluk saku jeans Levi's aku dengan rakus menggagau syiling. Ceh! Satu sen pun ada? Satu sen pun jadilah. Aku koyakkan plastik pembalut kad isian semula telefon mudah alih prabayar tu. Aku gores nombor siri dua belas angka dengan tangkas. Rupa-rupanya Nageb pun tengah beli barang. Dia perhati je aku dari dalam. Lain macam je dia punya senyum. Aku buat sardin.

Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Apa hal?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

Lagi?
Satu satu nombor siri dua belas angka aku salin ke telefon bimbit cabuk aku semula buat kali yang ketiga.

Send.
"Trut Tut".
Sorry, this top-up code is invalid.

"Nyem, wa ingat lu dah buat magis la nyem", Nageb dah ada sebelah aku.
"Sibaikia. Bila masa wa buat magis nyem?", sambil aku garu-garu kepala aku.
"Nyem. Lu pakai Maxis. Lu beli DiGi. Sambe lu nak top-up", lain macam je senyum Nageb.
"Nyem lu jual je lah top-up lu kat gua dua puluh. Ajamane? Ade bra?", bertambah lain macan dia punya senyum Nageb ni.

Ceh! Susut duit yang Bapak aku baru bank-in malam semalam. Sepuluh ringgit terbang. Licik tak licik Nageb ni?

Tuesday, June 17, 2008

#2 - Dilema Aku dan PTPTN

Aku bekas pelajar Multimedia University (MMU) dan ini kisah benar.

MMU universiti swasta. Belanja belajar mahal. Kursus dan program yang disediakan susah belaka. Tapi, aku tak aware semua tu. Umur aku baru 18 tahun. Bila surat tawaran sampai, keputusan tepat mesti dibuat dengan cepat dan tangkas. Bila difikirkan kembali, cepat dan tangkas tu memang, tapi tepat tu aku kurang pasti.

Segalanya bermula saat aku daftar dengan MMU. Aku hutang dengan PTPTN RM80,000.00. Sebab aku extend belajar setahun setengah, aku hutang pula dengan MMU RM17,000.00. Lain kali aku cerita kenapa aku extend.

Naik bukit, turun bukit, masuk hutan, keluar hutan, akhirnya aku graduate.

Sebab aku masih berhutang dengan MMU, masa aku convo, aku naik pentas dapat kotak kosong je. Sampai sekarang MMU masih 'pegang' scroll aku. Nasib baik MMU, kalau Along, dah lama tangan aku kena kerat.

Dulu aku ada motor cabuk buat modal untuk pergi kelas dan jalan-jalan keliling Melaka.
Tapi alhamdulillah sekarang aku dah bekerja.
Dapat kerja yang elok.
Gaji boleh tahan.
Dah boleh makan mewah.
Dah boleh pergi melancong.
Dah berkereta.
Dah berpasangan.

Tapi hutang apa cerita?

Aku bayar hutang MMU bulan-bulan ikut kadar kemampuan aku. Sebab? Aku nak scroll aku. Lagipun hutang MMU tiada paksaan, tiada cengkeram, tiada bunga dan seangkatan.

PTPTN lain pula cerita.

PTPTN aku bayar RM50.00 sebulan supaya tak kena saman. Dia boleh saman babe. Tapi lima puluh sebulan kalu, sampai bila nak langsai? Lepas 133 tahun habislah kot. Cucu aku boleh tolong sambung bayar nanti. Itu kalau kira guna kalkulator kita, tapi kalau guna formula PTPTN, hutang aku boleh bertambah sampai berkoyan-koyan. Tak habis-habis dia punya hutang. Ajaib. Ceti pun kalah. Along pun tak berani buat bisnes macam ni.

Inilah sebab-musabab yang menjadi punca orang marah.

PTPTN ni ada kos pentadbiran. Apa yang ditadbir mereka, aku kurang pasti. Kalau nak cerita pasal kepincangan servis PTPTN ni boleh buka post baru. Berjela-jela senarai dia. Jadi, caj 3% yang dikenakan sebagai kos pentadbiran ni, pada aku memang tak patut dan kejam.

Engkau orang mesti hairan, setakat tiga peratus pun orang nak kecoh. Bikin malu saja. Meh aku terang ajaib ke tak ajaib PTPTN ni. Lapan puluh ribu kalau dicaj tiga peratus setahun, jummlahnya dua ribu empat ratus. Kalau dua ribu empat ratus dibahagi dengan dua belas, sebulan dua ratus. Aku bayar lima puluh sebulan bersamaan enam ratus setahun. Caj dua ribu empat ratus; bayar enam ratus; baki caj seribu lapan ratus.

Jadinya, hutang aku daripada lapan puluh ribu akan meningkat tahun ke tahun sebab aku bayar kurang daripada kos pentadbiran.

Magis kan?

Orang pinjam duit nak buat belajar. Nak majukan negara. Nak penuhi tanggungjawab. Nak dapat kerja bagus-bagus. Nak sara mak ayah. Belajar itu kan satu ibadat. Tapi dia buat untung. Bikin semua orang rungut dan tensi.

Tapi aku selamba. Aku ada satu loophole.

Aku tandatangan perjanjian (agreement) berdarah dengan PTPTN ni, tahun 2000. Perjanjian orang lain yang sebelum-sebelum atau selepas-selepas, aku tak tahu. Ikut perjanjian, kalau aku mati, hutang aku kira halal. Penjamin aku pun ikut lepas sekali. Jadinya pergi jahanam sama itu PTPTN sebab kalu aku fikir banyak-banyak boleh naik gila kepala otak.

NOTA PANGLIPURLARA:
Usul kerajaan baru-baru ini hendak menurunkan kos pentadbiran sebanyak 50% sangat dinanti-nanti. Akan aku ikuti sandiwara semasa kerajaan melalui surat khabar tidak lama lagi. Siapa yang jadi hero, siapa yang jadi crook; atau hanya sembang kosong politik saja?