Sunday, August 31, 2008

#12 - Merdeheka

Dah merdeka dah ke?
Macam tak merdeka pun?
Tak banyak bendera berkibar pun?

Tahun-tahun lepas...

Boleh kata semua kereta-kereta dekat Kolumpo ni pasang bendera.
Siap ada yang rentang bendera atas bonet kereta.
Rentang atas bumbung kereta.
Motorsikal pun ikut pasang sama.
Memang bersepahlah bendera merata-rata.
Kiri. Kanan. Depan. Belakang. Atas. Bawah.
Pandang saja.
Mesti ada bendera.

Tahun ini...

Kiri. Kanan. Depan. Belakang. Atas. Bawah.
Pandang saja.
Belum tentu ada bendera.
Harapkan sekolah dengan kedai mamak je yang kibar.
Kedai lain semua buat tak tahu saja.
Kalau ada pun, bendera yang memang tahun lepas punya.
Dah naik lusuh dah.

Ni apa cerita orang Malaysia tak pasang bendera ni?
Hari merdeka lah!

Minyak naik harga, bendera naik harga juga agaknya?
Minyak dah turun harga, bendera masih tak turun harga lagi?

Damn it!

NOTA PANGLIPURLARA:
Satu je yang sama. Hari merdeka tetap cuti umum. Bendera tak bendera ... meriah tak meriah. Cuti tetap cuti. Enjoy the holiday!

Wednesday, August 27, 2008

#11 - Pertandingan Populariti

Dalam pertandingan populariti, yang menang selalunya mesti dari kalangan yang popular. Yang popular itu mestilah terampil, kaliber dan bagus. Itu kebiasaan. Kadang-kadang, kebiasaan boleh jadi luar biasa, bila pertandingan populariti, pemenangnya popular sahaja yang lebih. Terampil, kaliber dan bagus tidaklah sangat.

Damn it!

Pemenang pertandingan populariti lazimnya akan menentukan trend dan hala tuju kelompok yang terlibat. Masalah timbul bila pihak-pihak yang bertanding masing-masing tahap keterampilannya teruk dan tidaklah bagus. Yang menjadi mangsa adalah kelompok yang terlibat tadi. Tidak kira mereka-mereka ini adalah peminat-peminat si pemenang ataupun sebaliknya. Semuanya bakal menerima padah akibat ketidakterampilan pemenang.

Lebih buruk lagi elemen kebencian ditiup kedalam atmosfera pertandingan populariti itu. Umumnya pihak yang bertanding terlebih dahulu ada peminat setianya dalam kelompok yang terlibat. Mana mungkin bertanding tanpa peminat? Jadinya jumlah peminat pihak-pihak yang bertanding akan menentukan kemenangan mereka ini. Jika jumlah peminat meraka ini hampir sama banyaknya, maka kemenangan boleh dikatakan akan ditentukan oleh mereka-mereka yang berdiri di atas pagar dalam kelompok yang terlibat.

Sekiranya pihak yang bertanding itu dibenci oleh kelompok tersebut, lebih-lebih lagi oleh mereka-mereka yang berdiri di atas pagar ini, sudah tentu kemenangan mudah akan memihak kepada pihak yang satu lagi (tidak dibenci) walaupun pihak ini tahap keterampilannya sama teruk malah lebih buruk daripada pihak yang dibenci.

Bahayanya disini pemenang mesti disanjung dan diikuti walhal bagusnya tidak.
Tin kosong.

Sampai bila agaknya mereka-mereka yang tidak kaliber ini ingin bertanding dan merosakkan kualiti pertandingan populariti itu? Sepatutnya pihak-pihak yang bertanding dalam pertandingan populariti tadi mestilah terampil, kaliber dan bagus. Barulah pertandingan itu akan menjadi lebih berkualiti, bermakna dan berkesan.

Yang terjadi hari ini adalah sebaliknya.
Tidak bagus pun mahu bertanding (tidak tahu malu agaknya, gila populariti mungkin).
Pertandingan menjadi tidak bermakna.
Pemenang langsung tidak berkesan!

Selagi keadaan ini berterusan, nasib kelompok yang terlibat tidak akan terbela dan terjaga. Akhirnya yang menjadi mangsa adalah kelompok yang terlibat tadi.

Padan Muka.

Monday, August 25, 2008

#10 - Dari Negara Matahari Terbit I

Dulu. Aku pernah dengar. Kawan aku cakap. Orang Jepun. Pendek. Sekarang. Bila aku di Jepun. Aku perhati. Tiada yang pendek pun? Semuanya normal. Macam orang kita.

Seperkara lagi. Aku tengok. Orang Jepun. Tiada yang obes pun? Semuanya kurus. Tak macam orang kita. Aku yang sedikit gempal dah terasa gemuk. Cis!

Rakan pejabat orang-orang Jepun kata. Kalau gemuk. Kerajaan saman. Macam tipu 'je'.

Hotel tempat aku menginap dekat dengan pejabat tempat aku bekerja. Aku berjalan ulang-alik cuma sepuluh minit. Berjalan kaki di Jepun adalah perkara biasa. Jaringan keretapi awam Jepun sangat cekap. Efisyen dan sistematik. Jadinya semua orang berjalan. Tidak perlu berkereta.

Sambil berjalan sambil aku cuci mata. Minah-minah Jepun semuanya nampak lawa. Mungkin sebab kurus. Mungkin sebab putih. Mungkin juga sebab kosmetik. Mungkin aku mata keranjang. Entahlah. Memang lawa agaknya. Masing-masing bergaya. Masing-masing berfesyen walaupun hanya hendak ke pejabat. Tapi satu yang kurang. Gigi minah-minah Jepun kuning. Kuat rokok atau kuat kopi mungkin.

Kalau engkau orang hendak tahu. Orang Jepun kuat kerja. Mereka ni kerja macam robot. Boleh kata, robot pun tak kerja kuat macam orang Jepun kerja. Kalau tokoh pekerja kita tengok orang Jepun kerja. Mesti dia angkat bendera putih. Aku masuk pejabat pukul sembilan pagi. Pukul sebelas malam baru aku keluar dari pejabat. Kalau di Stesen LRT Masjid Jamek waktu puncak pukul enam petang. Waktu puncak di Stesen Tren Shinagawa pukul sebelas malam.

Gila tak gila lah orang Jepun kerja.

Sony terpaksa mempraktikkan 'non overtime day' setiap hari Rabu untuk mengelakkan kegilaan bekerja orang Jepun menjadi-jadi. Setiap hari Rabu aku boleh nampak mereka pulang awal sedikit. Itupun waku puncak di stesen keretapi masih kekal pukul sebelas malam. Sebabnya. Orang-orang Jepun masih nak pulang lewat. Mereka akan 'kampai' sampai mabuk setiap hari Rabu sebelum pulang ke rumah.

Gila tak gila lah orang Jepun mabuk.

Waktu malam. Bila di bilik hotel. Sebelum masuk tidur. Aku ada sedikit peluang. Menonton rancangan televisyen Jepun. Orang Jepun suka main bola lisut. Jadinya kalau hotel aku ada dua saluran percuma. Setiap satu saluran percuma ada lebih-kurang sepuluh rancangan. Boleh kata lima enam rancangan tayang bola lisut. Bosan.

Yang amat menarik. Rancangan riang-ria orang Jepun. Mereka suka buat siri kuiz realiti. Suka buat rancangan pertandingan realiti. Suka buat rancangan temuramah realiti. Macam-macam. Semuanya pelik-pelik. Susah hendak aku terangkan. Istana Takeshi yang pernah ditayang di tempat kita tu pun dah pelik. Yang di Jepun lagi pelik. Walaupun pelik. Rancangan riang-ria orang Jepun. Yang amat menarik.

Apa pun. Tindak-tanduk tingkah-laku tabiat orang Jepun. Negara Jepun sendiri tetap maju. Jepun pada pandangan aku sangat-sangat maju. Orang kita kalau diberi lima puluh tahun lagi pun belum tentu boleh maju macam Jepun maju sekarang. Mereka sistematik. Mereka bersih. Mereka rajin. Mereka bertamadun. Aku kagum.

NOTA PANGLIPURLARA:
Aku tertunduk-tunduk buat ojigi lebih seratus kali sehari. Automatik kepala tu nak tunduk je. Apa cerita?