Showing posts with label Aku Budak Star. Show all posts
Showing posts with label Aku Budak Star. Show all posts

Friday, January 23, 2009

(2.2) Aku Budak STAR : Pra Hari Pertama

Pagi itu. Macam pagi-pagi biasa musim riang-ria cuti sekolah. Biasalah. Aku bangun lambat. Tapi tak macam pagi-pagi biasa. Pagi itu. Aku tak teringin langsung nak melantak sarapan. Aku tak terasa lansung nak mengadap televisyen. Aku tak terfikir langsung nak keluar mandi sungai. Aku tak teruja langsung nak bikin basikal.

"Aku dari pejabat tadi. Kamu dapat surat daripada Kementerian nun ha. Siap ada Jata Negara. Siap ada logo SBP", suara Makcik Zan asyik berkumandang dalam fikiran budak dua belas tahun aku.

Berulang-ulang. Tak tenteram perasaan aku dibuatnya. Jiwa kacau. Gemuruh. Seram sejuk. Apa hal?

Nak terkencing rupanya. 

Berdesup aku ke bilik air. Selang beberapa minit. Lega. Aku kumur-kumur mulut. Aku basuh-basuh muka. Touch-up rambut ala kadar. Bila dah rasa handsome, aku cari mak di dapur.

Mak sedang kelim karipap. Kak Badar jagoan kuih-muih. Hari-hari kerja dia buat kuih. Segala macam kuih mak aku buat. Karipap, masalodeh, cucur badak, epok-epok, apam cawan, apam gula hangus, tepung talam dan macam-macam kuih. Dalam satu hari, beratus kuih mak aku buat. Kadang-kadang sampai beribu. Kuih-kuih tu ayah aku hantar ke kedai-kedai kuih, restoran-restoran, gerai-gerai, kantin-kantin sekolah, kantin-kantin kilang, kantin-kantin pejabat kerajaan dan macam-macam tempat.

Sebab aku anak dia, memang aku akan cakap kuih mak aku sedap. Puji mak sendiri tu normal. Tapi, memang sedap kuih-kuih mak aku sebab kuih-kuih mak aku sangat laku. Jarang kuih-kuih mak aku tak habis dijual. Lainlah bila hari-hari kuih 'mogok'. Bila hari-hari kuih mogok, kuih orang lain pun tak laku juga. Hasil jualan kuih mak aku tu, bolehlah sedikit-sebanyak tampung perbelanjaan kami sekeluarga. Ayah aku, Cikgu Daud, cikgu biasa. Itu yang mak aku tolong-tolong dia tu.

"Awal bangun?", mak aku perli aku.
"Kira awal apa pukul sepuluh", aku betah.
"Rezeki tak masuk tau kalau bangun lambat-lambat ni", mak aku dah mula nak bagi kuliah.
"Takpa. Mak dengan ayah dah bangul awal. Kira OK la tu", aku betah lagi.
Aku memang pandai menjawab.
"Tu sarapan bawah tudung saji."
"Orang lain semua dah makan."
"Tinggal kamu je", mak aku muncung mulut ke arah meja makan.
"Tak selera lah", aku pula yang muncung mulut.
"Eh? Tak selera?"
"Demam ke?"
"Kamu kenapa Joi?", mak aku macam tahu-tahu je aku tengah tak tenteram.
"Makcik Zan ade telefon mak semalam?", aku cuba nak cungkil-cungkil.
"Takde pun", mak aku geleng-geleng kepala.
"Betul ke?", aku cuba nak cungkil-cungkil lagi.
"Takkan mak nak tipu", mak aku buat muka selamba.
"Aik?"
"Dia datang."
"Mak takda."
"Dia kata dia nak telefon mak malam semalam", aku mencangkung sebelah mak.
"Hehehe"
"Tipu je", mak aku ketawa.
Mak aku memang suka buat kelakar tak bertempat.
"Mak ni..."
"Dia kata apa mak?", aku dah agak hilang sabar.
"Entah."
"Katanya kamu dapat masuk asrama."
"Ayah kamu pergi sekolah ambil surat.", masuk yang ini, dah empat biji karipap mak aku kelim.
"Asrama? Asrama apa? Dekat mana? Jauh ke? Bila?", makin tak tenteram jiwa aku.
"Manalah mak tahu."
"Dah masak dah pun."
"Tunggu je lah ayah kamu balik."
"Jangan ribut-ribut", mak aku bangun, tutup dapur gas yang sedang kukus apam gula hangus tu.

Lemah betul aku dengan perangai orang tua-tua ni. Cakap sekerat-sekerat.

Patutkah aku gembira sebab dapat masuk asrama? Patutkah aku takut sebab tinggal berjauhan dengan keluarga? Ayah aku kalau dah keluar rumah pagi-pagi waktu cuti-cuti sekolah memang sangkut di kedai kopi. Berjam-jam. Dah tengah hari karang baru ingat nak balik. Berzaman kalau nak tunggu.

Budak usia dua belas tahun macam aku memang tak tahu nak bersabar.
Kalau boleh semuanya nak cepat.
Itu nak cepat. Ini nak cepat.
Tak boleh nak bertenang langsung.

Sayup-sayup aku dengan bunyi motor Honda C70 ayah aku.
"Cepat balik? Ni mesti ada apa-apa ni. Cuba kamu pergi teng..."
Belum sempat mak aku habis bercakap, aku dah berdesup ke pintu hadapan.
Apa hal? Seram sejuk. Gemuruh. Jiwa kacau. Tak tenteram perasaan aku dibuatnya. Berulang-ulang.

***

Tuesday, December 9, 2008

(2.1) Aku Budak STAR : Pra Hari Pertama

Petang itu. Sedang aku asyik menonton Gaban di kaca televisyen. Sambil jilat ais pop. Sambil makan cucur ikan bilis panas.  Makcik Zan datang. Makcik Zan kerani sekolah aku. Merangkap ahli mesyuarat tingkap kawasan perumahan yang aku tinggal. 

Macam petang-petang lain dia akan terus meluru ke dapur mencari mak aku. Macam petang-petang lain juga macam biasa aku akan buat tak peduli. Tak pandang pun muka dia. Tapi petang itu tidak. Dia tidak meluru ke dapur mencari mak aku. Dia duduk sebelah aku. Tonton Gaban di kaca televisyen dengan aku. Makan cucur ikan bilis panas aku. 

Yang ini aku peduli. Aku pandang muka dia.

"Makcik Zan. Kalau nak cucur pergi lah amik kat dapur. Yang ini Ajoi punya", aku buat muka bengang.
"Alah, satu pun kedekut?", sambil dia lahap mengunyah.
"Yelah. Orang dah amik cukup-cukup je ni", aku cebik bibir.
"Sedap pulak cekodok mak kamu ni", laju tangan dia mencapai cucur ikan bilis panas.
"Sedap ke lapar? Amik dua pulak tu!"
"Pergi lah amik sendiri kat dapur tu", tumpuan aku pada Gaban sudah hampir terjejas.
"Tahi hidung masin betul lah budak ni", sambil dia calit minyak cucur ikan bilis panas dari jari dia ke pipi aku.
"Apa ni? Pengotor lah Makcik Zan ni. Geli lah", nasib baik Gaban tengah lawan Raksasa Gorgon. Kalau tengah iklan dah lama aku hentak perut Makcik Zan.

Sambil dia ke dapur. Sambil dia mengomel. "Aku dari pejabat tadi. Kamu dapat surat daripada Kementerian nun ha. Siap ada Jata Negara. Siap ada logo SBP".

Kementerian? Jata Negara? Logo SBP? Apa benda SBP tu? Kali ni tumpuan aku betul-betul dah hilang. Gaban menang atau kalah aku dah tak peduli lagi. Tak mengapa. Macam mana kuat Raksasa Gorgon tu sekali pun, Gaban mesti menang punya. Kalau agak-agak dah nak kalah pun, Naga Gaban mesti tolong punya.

Aku mengekor Makcik Zan ke dapur. 

"Mak kamu takde. Motor takde. Ke kedai depan lah tu gamaknya", dia patah balik ke pintu hadapan.
"Surat apa Makcik Zan oi?", aku ingin tahu.
"Takpe lah. Nanti malam aku telefon mak kamu", terkedek-kedek dia berjalan balik ke rumah.

Lemah betul aku dengan perangai orang tua-tua ni. Cakap sekerat-sekerat. 

Surat apa agaknya yang sampai ke pejabat? Entah-entah surat daripada wakil rakyat hendak beri hadiah UPSR 4A? Kalau tak pun, mungkin PPD hendak beri baucar Snack Plate? Untungnya dapat makan KFC. Kalau dapat dua-dua, boleh makan dan beli jam tangan kereta kebal KFC. Style! Jam tangan kereta kebal? Jam tangan Kalkulator Casio pun boleh tahan juga. Lagi style

Budak usia dua belas tahun macam aku memang tamak. 
Kalau boleh semuanya hendak. 
Beli itu . Beli ini. 
Tak fikir masa depan langsung. 

"Gaban Z, potong dua."
"Tebaabooom!"
Mata aku terpaku ke kaca televisyen.
Menang lagi Gaban minggu ni.

***

Thursday, November 20, 2008

(1) Aku Budak STAR : Prolog

Tarikh itu.
Aku masih ingat lagi tarikh keramat itu.
5 Disember 1994.
Masakan aku boleh lupa. Antara tarikh-tarikh penting yang memang aku kenang sampai mati. Tarikh itu adalah tarikh bermulanya satu era baru dalam hidup aku. Tarikh bila mana aku mula kenal erti hidup.

Tempat itu.
Aku masih ingat lagi tempat gah itu.
Masakan aku boleh lupa. Antara tempat-tempat yang masih aku singgah kalau aku lalu. Tempat di mana aku mula belajar berdikari. Belajar selok belok kehidupan.

Banyak yang aku timba di situ. Banyak yang aku harung di situ. Sepanjang lima tahun aku di situ, banyak yang telah aku tempuhi. Pahit, manis, suka, duka. Sejak pertama kali aku menjejakkan kaki di situ sampailah terakhir kali aku melangkah keluar dari situ, tak pernah aku kesal tertang apa yang telah dan pernah berlaku.

Sebab? Ianya hebat!

Kawan-kawan yang aku kenali.
Memori-memori yang aku lalui.
Pengalaman-pengalaman yang aku perolehi.
Ilmu pengetahuan yang aku pelajari.
Erti kehidupan yang aku rasai.
Semuanya cukup berharga.

Aku rindu waktu itu.
Aku rindu tempat itu.

Aku budak STAR. Dan ini cerita aku.

***